DYTM Raja Muda Perlis Melancarkan Enam Judul Buku Terbitan DBP

DYTM Raja Muda Perlis Melancarkan Enam Judul Buku Terbitan DBP

Kuala Lumpur – Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Ibni Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail berkenan mencemar duli menyempurnakan Majlis Pelancaran Buku Terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan Universiti Islam Antarabangsa Tuanku Syed Sirajuddin (UniSIRAJ) bersempena dengan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2026 yang berlangsung di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) petang tadi.

Menerusi majlis pelancaran tersebut, sebanyak enam judul buku telah dilancarkan oleh DYTM Tuanku Raja Muda Perlis. Buku tersebut ialah Isu-isu Pandemik dari Kaca Mata Islam yang diterbitkan hasil kerjasama antara DBP dengan UniSIRAJ. Buku ini berkisar tentang masalah global yang melanda dunia khususnya berkaitan dengan penularan COVID-19. Editor buku ini ialah YBrs. Encik Nidzamuddin Zakaria, YBrs. Encik Mohd Akram Dahaman @ Dahlan dan YBrs. Encik Mohamad Dhiya’ulHafidh Fatah Yasin.

Sementara itu, lima judul buku lain yang dilancarkan termasuklah buku Biografi Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, Biografi Ketua Pengarah DBP, Legasi Ulama Melayu, Akhlak dalam Islam, dan Pembangunan Luar Bandar dan Pembasmian Kemiskinan.

Turut berangkat sama ialah Raja Puan Muda Perlis, DYTM Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil serta anakanda puteri baginda berdua, Yang Amat Mulia (YAM) Hajah Sharifah Khatreena Nuraniah Jamalullail dan YAM Hajah Sharifah Farah Adriana Jamalullail.

Keberangkatan tiba duli-duli tuanku disambut oleh Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, YBhg. Sasterawan Negara Dato’ Dr. Anwar Ridhwan, Ketua Pengarah DBP, YBrs. Dr. Hazami Jahari dan Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) DBP, YBrs. Tuan Haji Mohd Salahuddin Datuk Paduka Mohamed.

Turut mengiringi baginda ialah Pengarah Urusan Kumpulan WTCKL, YBhg. Datuk Seri Dr. Irmohizam Ibrahim, serta Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan WTCKL, Encik Fauzy Wahab.

Buku Biografi Pengerusi Lembaga Pengelola DBP dan Biografi Ketua Pengarah DBP yang menampilkan usaha dan kecemerlangan DBP hampir tujuh dekad di bawah pimpinan 12 orang Pengerusi Lembaga Pengelola dan 13 orang Ketua Pengarah DBP ini diusahakan penerbitannya oleh DBP melalui penulisan YBrs. Puan Kamariah Abu Samah dan YBrs. Dr. Abang Patdeli Abang Muhi.

Buku Legasi Ulama Melayu pula mengupas peranan ulamak di Alam Melayu khususnya pengembangan ilmu Islam yang selari dengan metode Ahli Sunnah wal Jamaah ditulis oleh YBrs. Puan Zurita Mohd Yusoff, YM Engku Ibrahim Engku Wok Zin dan YBhg. Profesor Madya Dr. Najmiah Omar.

Buku Akhlak dalam Islam yang menerangkan akhlak mazmumah terhadap Allah SWT seperti fasiq, cinta dunia, cinta harta, kufur nikmat, tamak, menurut hawa nafsu, riyak, takbur dan syirik ditulis oleh YBrs. Encik Marmoh Kasman.

Buku Pembangunan Luar Bandar dan Pembasmian Kemiskinan oleh YBrs. Encik Chamhuri Siwar, YBrs. Encik Asan Ali Mohd Khairi dan YBrs. Encik Mohd Khairi Ismail (editor) pula menghimpunkan 19 makalah yang ditulis oleh penyelidik berkaitan dengan pelbagai isu pembangunan luar bandar dan pembasmian kemiskinan dalam kalangan penduduk.

Majlis pelancaran buku ini bertujuan untuk memperkenalkan dan menyebarluaskan karya terbaharu DBP dan UniSIRAJ yang bermutu tinggi serta dapat dimanfaatkan dalam kehidupan masyarakat. Majlis pelancaran buku ini mencerminkan kesepakatan antara DBP dengan UniSIRAJ dalam dunia penerbitan buku.

Menurut satu kenyataan media oleh DBP, pelancaran ini mencerminkan komitmen berterusan DBP dan UniSIRAJ bagi memartabatkan penghasilan karya penulisan berbahasa Melayu yang bermutu tinggi sebagai medium pendidikan dan percambahan ilmu.

Keenam-enam buah buku ini boleh didapati di reruai DBP di WTCKL sepanjang berlangsungnya PBAKL 2026, kedai buku DBP, pelantar jualan secara dalam talian DBPNiaga dan kedai buku terpilih di Malaysia.

Pihak DBP mengalu-alukan orang ramai untuk mendapatkan karya ini sebagai tanda sokongan terhadap usaha DBP dan UniSIRAJ menerbitkan buku yang bermutu tinggi untuk bacaan dan rujukan masyarakat.

Kongsi ke Media Sosial:

Paling Terkini

Semak Agihan

Semak Kutipan

Mohon

Bayar

Skip to content
This site is registered on wpml.org as a development site. Switch to a production site key to remove this banner.