PAUH PUTRA, 25 Julai – Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) memanfaatkan penganjuran 10th World Cup Woodball Championship 2026 dan 26th Malaysia Open 2026 sebagai platform mempromosikan buah-buahan tempatan Malaysia kepada atlet serta delegasi antarabangsa menerusi Kempen Lebihkan Makan Buah-buahan Tempatan.
Kempen itu disempurnakan oleh Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil di Laman Woodball, Kompleks Sukan Syed Sirajuddin Areeb Putra, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Kampus Alam Pauh Putra.
Berangkat sama Waris Yang Kedua Negeri Perlis, Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail serta anakanda puteri, Hajah Sharifah Farah Adriana Jamalullail.
Turut hadir Presiden International Woodball Federation (IWbF), Sean Weng Chi-Hsiang; Presiden Persatuan Woodball Malaysia, Elaine Tan; Presiden Persatuan Woodball Negeri Perlis, Datuk Profesor Emeritus Dr Kamaruddin Husin; wakil agensi negeri dan Persekutuan, atlet, pegawai serta delegasi antarabangsa.
Pengarah FAMA Negeri Perlis, Mohd Anzara Azizan berkata, kempen itu bertujuan menggalakkan masyarakat mengamalkan pengambilan buah-buahan tempatan sebagai gaya hidup sihat, di samping memperkenalkan keunikan serta kualiti hasil pertanian Malaysia kepada masyarakat antarabangsa.
Menurut beliau, sebanyak 1.5 tan metrik buah-buahan tempatan disediakan sepanjang kejohanan membabitkan 300 kilogram durian, 200 kilogram rambutan, 200 kilogram manggis, 100 kilogram dokong dan 700 kilogram pisang untuk dinikmati atlet serta pegawai dari pelbagai negara.
“Melalui kempen ini, FAMA berharap lebih ramai masyarakat mengamalkan pengambilan buah-buahan tempatan, sekali gus meningkatkan permintaan terhadap hasil keluaran petani tempatan dan memperkukuhkan daya saing produk agromakanan Malaysia di peringkat antarabangsa,” katanya.
Beliau berkata, penganjuran kejohanan bertaraf dunia itu menjadi platform terbaik memperkenalkan hasil pertanian tempatan, memperkukuhkan hubungan persahabatan antara negara serta mempromosikan Perlis sebagai destinasi sukan, agropelancongan dan pelancongan antarabangsa.
Selain mempromosikan buah-buahan tempatan, FAMA Negeri Perlis turut diberi penghormatan oleh Tuanku Syed Faizuddin Putra selaku Penaung Diraja Persatuan Woodball Negeri Perlis untuk bertindak sebagai pegawai perhubungan rasmi kepada kontinjen Thailand sepanjang kejohanan berlangsung.
Peranan itu meliputi penyelarasan kebajikan, logistik dan urusan rasmi kontinjen berkenaan, sekali gus mencerminkan komitmen FAMA dalam menyokong penganjuran kejohanan bertaraf antarabangsa serta memperkukuhkan imej Malaysia sebagai negara yang mengamalkan nilai hospitaliti dan kerjasama antarabangsa.
Aplikasi MyHRMIS Mobile: Galeri Aplikasi Mudah Alih Kerajaan Malaysia
Last updated: 7/27/2026