FCoEE perkasa asnaf melalui Program Keusahawanan Digital

FCoEE perkasa asnaf melalui Program Keusahawanan Digital

ARAU, 31 Mac 2026 — Faizuddin Center of Educational Excellence (FCoEE) terus komited memperkasa golongan asnaf menerusi pelaksanaan Program Keusahawanan Digital bagi membantu peserta menyesuaikan diri dengan ekonomi moden melalui pemasaran digital, penjenamaan produk serta penggunaan teknologi termasuk kecerdasan buatan (AI).

Pengerusi FCoEE, Profesor Emeritus Datuk Ts. Dr. Kamarudin Hussin berkata, program itu menyasarkan penyertaan 40 peserta yang terdiri daripada Program Pemangkin Pembangunan Insan Terpilih Madani (PPITM) di bawah FCoEE, usahawan Akademi Transformasi Asnaf MAIPs (ATAM), serta komuniti peniaga kecil Projek Transformasi DiRaja Kampung Nelayan Warna-Warni Seberang Ramai, Kuala Perlis.

Menurut beliau, para peserta memiliki produk dan kemahiran asas yang baik, namun masih memerlukan bimbingan strategik bagi membolehkan mereka berkembang dengan lebih berkesan.

“FCoEE melihat potensi besar dalam kalangan mereka untuk muncul sebagai usahawan berjaya dan lebih berdaya saing,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Program Keusahawanan Digital Asnaf dan Majlis Seri Aidilfitri FCoEE yang berlangsung di Dewan Majlis Perbandaran Kangar (Dewan Sivik), di sini.

Majlis itu disempurnakan oleh Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selaku Penaung Diraja FCoEE, bersama Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Turut berangkat, Waris Yang Kedua Negeri Perlis, Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail, serta puteri-puteri Baginda berdua, Hajah Sharifah Khatreena Nuraniah Jamalullail dan Hajah Sharifah Farah Adriana Jamalullail.

Dalam pada itu, Kamarudin berkata FCoEE amat menghargai kerjasama strategik dengan Universiti Malaysia Kelantan (UMK), khususnya Fakulti Data Sains dan Komputeran yang menyumbang kepakaran akademik serta pengalaman industri bagi memastikan pelaksanaan program itu berjalan secara profesional dan memberi impak tinggi.

Pada majlis sama, Tuanku Syed Faizuddin Putra turut berkenan menyaksikan pemeteraian persefahaman antara FCoEE dengan Dosz Academy serta ZAHA Bina sebagai usaha memperluas jaringan kerjasama strategik.

Sementara itu, Tuanku Lailatul Shahreen Akashah turut berkenan menyempurnakan simbolik pemotongan kek sempena Hari Keputeraan Baginda yang disambut pada 28 Mac lalu.

Majlis berkenaan turut diserikan dengan kehadiran Sasterawan Negara China, Liu Zhenyun, yang mempersembahkan buku berjudul Tawa dan Tangis untuk dihadiahkan kepada semua perpustakaan sekolah di Perlis oleh Pertubuhan Han Malaysia.

Majlis Seri Aidilfitri FCoEE itu turut menampilkan pelbagai juadah yang disediakan khas oleh usahawan asnaf negeri Perlis terdiri daripada peserta PPITM, ATAM serta peniaga tempatan.

Penglibatan mereka dalam penyediaan hidangan bukan sahaja memeriahkan suasana, malah menjadi platform praktikal untuk mempromosikan produk serta memperkukuh keupayaan keusahawanan dalam kalangan peserta.

Kongsi ke Media Sosial:

Paling Terkini

Semak Agihan

Semak Kutipan

Mohon

Bayar

Skip to content
This site is registered on wpml.org as a development site. Switch to a production site key to remove this banner.