KANGAR, 24 Julai 2025 – Festival Kraf Utara (FKU) 2025 anjuran Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia, membuka tirainya hari ini di Cawangan Perlis, Batu 5, Jalan Kuala Perlis dan akan berlangsung selama 12 hari hingga 4 Ogos 2025.
Festival ini bertujuan memperkukuh usaha promosi serta memperluas pasaran produk kraf tempatan, khususnya dari negeri-negeri di utara Semenanjung Malaysia. Ia juga menjadi platform strategik untuk usahawan kraf mempamerkan hasil tangan, membina jaringan pasaran dan meningkatkan kebolehpasaran produk ke peringkat lebih tinggi.
Lawatan Diraja Perkukuh Sokongan Kepada Industri Kraf
Maklumat mengenai festival telah dipersembahkan oleh Pengarah Kraftangan Malaysia Cawangan Perlis, Mohd Shahrir Mohamad Ramli, kepada Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil, semasa lawatan Baginda berdua ke pusat kraftangan berkenaan.
Turut berangkat ialah Waris Kedua Negeri Perlis, Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail. Hadir sama, Ketua Pengarah Kraftangan Malaysia, Datuk ’Ainu Sham Haji Ramli.
Baginda berdua dijadualkan berangkat semula ke festival ini pada malam Jumaat, 1 Ogos 2025, sebagai tanda sokongan berterusan terhadap pembangunan industri kraf.
️
Sorotan Aktiviti Festival
Antara aktiviti utama sepanjang FKU 2025 termasuk:
Incoming Sourcing Programme
Sesi padanan perniagaan antara usahawan kraf dan pembeli industri.
Pameran dan Jualan Produk Kraf Seluruh Negara
Memperlihatkan kepelbagaian seni kraf tangan tradisional dan moden.
Demonstrasi dan Aktiviti Interaktif Kraf
Pengunjung berpeluang mencuba sendiri teknik pembuatan batik, tenunan, anyaman dan ukiran.
Persembahan Budaya & Kesenian Tradisional
Menyemarakkan semangat warisan tempatan dalam suasana festival.
Sokongan Masyarakat Diperlukan
Kraftangan Malaysia menyeru orang ramai agar hadir memeriahkan festival ini dan menyokong industri kraf negara yang menjadi salah satu komponen penting dalam warisan budaya serta ekonomi kreatif Malaysia.
“FKU bukan sekadar festival, tetapi medan menghargai seni tangan tempatan dan memperkukuh identiti bangsa melalui warisan kraf,” ujar wakil penganjur.
(Foto & info: Ihsan Kraftangan Malaysia & MAIPs)