KANGAR, 6 Jun – Pemeliharaan hutan dan alam sekitar perlu terus diperkasa sebagai satu amanah bersama yang bukan sahaja penting dari sudut kelestarian ekosistem, malah selari dengan tuntutan agama Islam yang meletakkan manusia sebagai khalifah di muka bumi.
Sehubungan itu, Jabatan Perhutanan Negeri Perlis menganjurkan Forum Perdana sempena Hari Hutan Antarabangsa Peringkat Negeri Perlis Tahun 2026 di Masjid Tuanku Syed Putra Jamalullail (MTSPJ), Kangar, bagi meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan memelihara khazanah alam semula jadi negara.
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil diiringi anakanda puteri kedua Baginda berdua, Hajah Sharifah Farah Adriana Jamalullail berkenan berangkat menghadiri program tersebut.
Keberangkatan tiba Duli-Duli Tuanku disambut Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Perlis, Ag. Shaffie Ag. Ahmadni bersama para pegawai kanan jabatan.
Forum bertemakan “Amanah Hijau: Perhutanan dan Tanggungjawab Khalifah” itu menampilkan Guru Takmir Jabatan Agama Islam Perlis, Mohd Shafiy Zakaria sebagai moderator.
Dua ahli panel yang dijemput ialah Profesor di Jabatan Sains Perhutanan dan Biodiversiti, Fakulti Perhutanan dan Alam Sekitar, Universiti Putra Malaysia, Prof. Dr. Mohd Hasmadi Ismail serta Ketua Penolong Pengarah merangkap Ketua Pendaftar Nikah, Cerai dan Rujuk Negeri Perlis, Ahmad Sirajuddin Abdul Satar.
Perbincangan yang berlangsung mengupas hubungan erat antara pemeliharaan alam sekitar dan tuntutan agama Islam, termasuk tanggungjawab manusia dalam melindungi hutan, memulihara biodiversiti serta mengurus sumber asli secara lestari demi kesejahteraan generasi masa kini dan akan datang.
Para panel turut menegaskan bahawa hutan memainkan peranan penting sebagai penampan ekosistem, penyimpan karbon semula jadi serta sumber kehidupan yang membantu mengekalkan keseimbangan alam dan mengurangkan kesan perubahan iklim.
Program tersebut turut menjadi platform untuk memperluaskan kefahaman masyarakat mengenai kepentingan pengurusan hutan secara mampan serta menggalakkan penglibatan pelbagai pihak dalam usaha pemeliharaan alam sekitar.
Penganjuran forum seumpama ini diharap dapat memperkukuh kerjasama antara agensi kerajaan, institusi pendidikan, badan bukan kerajaan dan masyarakat dalam membudayakan amalan penjagaan alam sekitar sebagai satu tanggungjawab bersama yang selari dengan aspirasi pembangunan mampan negara.
Aplikasi MyHRMIS Mobile: Galeri Aplikasi Mudah Alih Kerajaan Malaysia