George Town, Pulau Pinang | 12 Julai 2025 — Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil hari ini berkenan berangkat menghadiri pameran seni George Town Reverie 2 – Malaysia All Medium Art Exhibition yang berlangsung di GEHRIG Art Gallery, George Town, Pulau Pinang.
Turut berangkat sama, anakanda Baginda berdua, Warisnya Yang Kedua Negeri Perlis, Yang Teramat Mulia Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail.
Keberangkatan Baginda sekeluarga disambut oleh pemilik galeri, Stefan Gehrig bersama isteri beliau, serta penggiat seni tempatan terkenal, Linn Wong.
Pameran berprestij ini menghimpunkan karya-karya pelukis ternama Malaysia merentasi pelbagai medium seni. Ia merupakan antara inisiatif penting dalam usaha memperkukuh kedudukan George Town sebagai Bandar Raya Kebudayaan, di samping menyuntik sokongan bermakna terhadap pembangunan industri kreatif negara.
Dalam titah ringkas, Tuanku Syed Faizuddin Putra menzahirkan harapan agar pameran seperti ini mampu menjadi pemangkin kepada pengiktirafan lebih luas terhadap seni bina dan ekspresi budaya sebagai elemen penting dalam membina persekitaran kreatif yang lestari dan beridentiti nasional.
Pameran George Town Reverie 2 2025 dibuka kepada orang ramai sehingga 11 Ogos 2025, dan dijangka menarik kehadiran pelbagai lapisan pengunjung termasuk pelajar, penggiat seni, dan pelancong antarabangsa.