KANGAR, 7 Nov (Bernama) — Graduan Universiti Islam Antarabangsa Tuanku Syed Sirajuddin (UniSIRAJ) perlu menjadi insan yang amanah, berintegriti dan menghormati perbezaan serta berpegang pada kebenaran sebagai panduan dalam menempuh alam pekerjaan serta kehidupan mendatang.
Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang juga Canselor UniSIRAJ bertitah ilmu membina keupayaan berfikir dan menyelesaikan masalah, manakala adab mencerminkan nilai diri.
“Pastikan kecemerlangan akademik serta kepakaran sentiasa disertai akhlak dan prinsip yang kukuh,” titah baginda pada Istiadat Konvokesyen UniSIRAJ Kali Kesembilan yang berlangsung di Dewan 2020, di sini hari ini.
Ad Banner
Ad Banner
Tuanku Syed Faizuddin Putra bertitah dalam era kecerdasan buatan (AI) dan kemajuan digital, penguasaan ilmu perlu sentiasa seiring dengan nilai murni serta prinsip yang teguh.
Selain itu, Raja Muda Perlis bertitah graduan berkenaan perlu membina kerjaya dengan tekun dan melaksanakan tanggungjawab dengan baik, serta memanfaatkan kepakaran untuk menghasilkan idea serta penyelesaian yang memberikan nilai kepada organisasi dan masyarakat.
“Kejayaan bukan sekadar jawatan, pendapatan atau pencapaian peribadi, tetapi juga manfaat kepada orang lain … perjalanan selepas konvokesyen tidak semestinya mudah.
“Kegagalan, persaingan dan perubahan akan menguji kemampuan diri. Jadikan setiap cabaran sebagai peluang untuk belajar, memperbaiki kelemahan dan meningkatkan keupayaan. Hadapinya dengan sabar, tabah dan tawakal tanpa menggadaikan prinsip serta maruah diri,” titah baginda.
Sementara itu, baginda bertitah ilmu dan kepakaran perlu menghasilkan tindakan yang membawa kebaikan yang jika menjadi pemimpin maka pimpinlah dengan amanah, manakala jika menjadi pendidik maka didiklah dengan penuh tanggungjawab, dan jika menjadi individu profesional maka laksanakan tugas dengan amanah serta mengutamakan kepentingan manusia.
Tuanku Syed Faizuddin Putra bertitah setiap kedudukan dan peluang perlu dijadikan sebagai ruang untuk berbakti.
Pada istiadat konvokesyen itu, Raja Muda Perlis turut berkenan menyampaikan Anugerah Canselor (Martabat Al-Syaraf Al-Ula) kepada graduan Ijazah Sarjana Muda Hadis dari Fakulti Al-Quran dan Sunnah yang memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.95, Maryam Al Adzra Mohd Zawawi.
Sebanyak 277 graduan UniSIRAJ menerima doktor falsafah (PhD), ijazah sarjana, ijazah sarjana muda dan diploma masing-masing pada istiadat konvokesyen itu.
— BERNAMA