Guru Perlu Jadi Agen Perpaduan – Raja Perlis

KANGAR, 18 April 2019 (Khamis) – Raja Perlis menitahkan warga pendidik supaya menjadi agen permuafakan antara kaum yang membawa kepada perpaduan yang sangat akrab.

Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail bertitah, selain kesibukan mendidik anak bangsa dalam mengejar kecemerlangan akademik, penerapan nilai-nilai murni melalui Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan juga perlu diberi perhatian di sekolah-sekolah yang mewujudkan rasa muhibah dalam pelbagai masyarkat pelbagai bangsa.

“Warga pendidik pada masa ini juga diharap agar dapat menerapkan semangat cintakan negara dan sayangi masyarakat tanpa membezakan warna kulit dalam kalangan pelajar supaya peristiwa hitam 13 Mei 1969 yang lalu tidak sama sekali berulang kembali,” titah baginda.

Demikian titah Raja Perlis ketika berkenan berangkat merasmikan Hari Anugerah Cemerlang dan Hari Kokurikulum SMK Derma bagi tahun 2019 yang diadakan di Dewan Syed Mahmood sekolah berkenaan di Kangar pagi tadi.

Keberangkatan tiba baginda disambut oleh Pengarah Pendidikan Negeri, Izmi Ismail dan Pengetua, Fauziah Abdul Hamid.

Berangkat sama ialah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang juga alumni SMK Derma (1980-1982) dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Tambah Tuanku Raja Perlis lagi, peristiwa hitam dalam sejarah Malaysia ini sangat memberi impak kepada negara kita dan ramai rakyat terkorban serta banyak harta benda musnah.

“Perkara ini terjadi disebabkan oleh rusuhan kaum yang memuncak,” titah baginda.

Di sinilah, titah baginda, pentingnya mata pelajaran Sejarah dalam menjadikan pelajar-pelajar kita menghargai negara dan menghormati perpaduan berteraskan Rukun Negara.

Di majlis tersebut Tuanku Syed Sirajuddin turut berkenan membuka kapsul masa secara simbolik yang telah ditanam oleh Almarhum Tuanku Syed Putra Jamallulail 20 tahun yang lalu iaitu pada 1 Ogos 1999.

Pelajar Najah Afiqah Rose Aza yang memperolehi Semua A+ dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2018 menerima Anugerah Khas Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis peringkat sekolah itu.

Turut mendapat semua A dalam peperiksaan awam 2018 dan menerima anugerah di majlis itu ialah Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) – 7 dan SPM – 18.

Pelajar Muhammad Arif Haikal Meli mendapat semua A serta Ahmad Uzair Azuka dan Wan Abdullah Azim Wan Idris mendapat PNGK 3.50 dalam peperiksaan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM).

Kongsi ke Media Sosial:

Paling Terkini

Semak Agihan

Semak Kutipan

Mohon

Bayar

Skip to content