Harumanis Perlis Perlu Diperkasa, Kekal Asli – Raja Perlis

Harumanis Perlis Perlu Diperkasa, Kekal Asli – Raja Perlis

KANGAR, 25 April — Semua pihak termasuk agensi kerajaan, pengusaha dan pemain industri diseru mempertingkat usaha dalam aspek penanaman, penyelidikan, pemprosesan serta pemasaran mangga Harumanis bagi memastikan jenama ikonik Perlis itu terus diperkasa dan dipelihara keasliannya.

Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail bertitah baginda yakin Perlis akan terus kekal unggul sebagai hab pengeluaran mangga Harumanis, sekali gus menyumbang kepada peningkatan ekonomi negeri serta kesejahteraan rakyat.

“Beta amat berbangga apabila dimaklumkan bahawa industri Harumanis terus berkembang pesat melibatkan lebih 2,700 pengusaha dengan keluasan tanaman mencecah 1,800 hektar,” titah baginda ketika merasmikan Perlis Agrofest 2026 di Sungai Batu Pahat, malam tadi.

Turut berangkat Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Baginda turut menyarankan rakyat memanfaatkan tanah lapang di kawasan kediaman dengan penanaman Harumanis yang berpotensi memberi pulangan jangka panjang.

“Jika ada tanah lebih, sekurang-kurangnya tanamlah lima pokok… dalam tempoh mungkin 10 tahun akan datang, harganya boleh meningkat dan memberi manfaat lebih baik,” titah baginda.

Dalam pada itu, baginda menegaskan penggunaan teknologi dan inovasi dalam sektor pertanian amat penting bagi meningkatkan produktiviti serta kecekapan, selain memastikan sektor berkenaan kekal relevan dan mampan.

Sehubungan itu, baginda berharap kerajaan negeri dan Persekutuan terus menyediakan inisiatif bersesuaian kepada pemain industri termasuk bantuan berkaitan kos bahan api, susulan tekanan kenaikan harga akibat krisis geopolitik di Asia Barat.

Mengenai penganjuran Perlis Agrofest 2026 yang berlangsung selama tiga hari bermula 24 hingga 26 April, baginda bertitah program itu menghimpunkan pelbagai aktiviti melibatkan pertanian, penternakan, teknologi agro dan keusahawanan.

“Penganjuran ini bukan sahaja memperkasa sektor pertanian sebagai bidang berpotensi tinggi, malah merupakan penghargaan signifikan kepada peladang, penternak dan nelayan yang menyumbang kepada pembangunan ekonomi serta keselamatan makanan negara,” titah baginda.

Kongsi ke Media Sosial:

Paling Terkini

Semak Agihan

Semak Kutipan

Mohon

Bayar

Skip to content
This site is registered on wpml.org as a development site. Switch to a production site key to remove this banner.