KUALA PERLIS, 6 Februari 2026 – Komitmen berterusan Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL) dalam memastikan kebajikan rakyat sentiasa menjadi keutamaan terus dizahirkan menerusi pelaksanaan Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) HASiL Prihatin Tahun 2026 bersama Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs).
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pematuhan) HASiL, Shaharrudy Othman, berkata inisiatif tersebut selaras dengan peranan HASiL sebagai agensi pemungut cukai langsung negara yang bukan sahaja melaksanakan amanah kutipan hasil, malah kekal komited menyantuni golongan masyarakat yang memerlukan melalui pelbagai program berimpak tinggi dan bersasar.
Menurut beliau, penganjuran program CSR bersama MAIPs itu mencerminkan komitmen berterusan HASiL dalam mengutamakan kesejahteraan rakyat di samping menyokong pembangunan sosioekonomi masyarakat setempat secara inklusif dan mampan.
“Inisiatif ini bukan sekadar menyampaikan bantuan, malah menjadi platform turun padang bagi memahami realiti kehidupan golongan asnaf secara lebih dekat,” katanya.
Program kali ini dilaksanakan menerusi aktiviti Kayuhan Basikal MAIPs Peduli yang melibatkan kunjungan ke tiga buah keluarga asnaf di sekitar Projek Transformasi DiRaja Kampung Nelayan Warna-Warni Seberang Ramai, Kuala Perlis.
Program berkenaan turut diserikan dengan keberangkatan Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, Raja Muda Perlis dan Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil, Raja Puan Muda Perlis.
Selain menyantuni asnaf, HASiL juga melaksanakan inisiatif mengecat semula serta menceriakan persekitaran Rumah Penghulu Omar di Kampung Warna-Warni sebagai usaha memulihara khazanah warisan kampung yang bernilai tinggi, di samping mengekalkan identiti serta keunikan kawasan berkenaan. Usaha ini secara tidak langsung turut memperkukuh kedudukan kampung tersebut sebagai salah satu destinasi pelancongan utama di negeri Perlis.
Sempena program itu, Raja Muda Perlis berkenan menyampaikan sumbangan MAIPs berupa wang tunai berjumlah RM700, Kit MAIPs Peduli serta beras fidyah kepada penghuni tiga buah rumah asnaf. HASiL pula menyalurkan bantuan tunai dan barangan keperluan asas bagi meringankan beban keluarga terlibat.
Tiga penerima sumbangan pada edisi kali ini ialah Isma Bahari, 81; Asmizan Ismail, 44; dan Razinah Mat Akib, 82, yang kesemuanya merupakan penduduk Kampung Tengah, Seberang Ramai.
Aplikasi MyHRMIS Mobile: Galeri Aplikasi Mudah Alih Kerajaan Malaysia