Ilmu yang tinggi berperanan sebagai penyuluh kemajuan – Raja Muda Perlis

Ilmu yang tinggi berperanan sebagai penyuluh kemajuan – Raja Muda Perlis

Oleh: Sholina Osman
Foto: YTSP Perlis
18 APRIL 2026

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah bahawa ilmu yang tinggi berperanan sebagai penyuluh kemajuan, manakala adab serta integriti menjadi kompas yang memandu kehidupan.

Pelajar berkualiti, bukan sahaja cemerlang dalam pembelajaran, tetapi mampu menterjemahkan ilmu kepada manfaat yang nyata dalam kehidupan seharian.

Menurut Baginda kejayaan hakiki seseorang pelajar bukan sekadar diukur melalui kecemerlangan akademik, sebaliknya merupakan gabungan seimbang antara pencapaian ilmu dan kematangan sahsiah.

Baginda turut menegaskan bahawa setiap pelajar merupakan permata berharga dalam ekosistem pendidikan yang inklusif.

KEUPAYAAN BUKANLAH KEKANGAN

Keunikan keupayaan bukanlah kekangan, sebaliknya peluang untuk menyerlahkan potensi luar biasa.

Dengan sokongan berterusan, setiap pelajar berupaya mencapai kecemerlangan tertinggi dan membuktikan bahawa setiap bakat berhak diberi ruang untuk bersinar.

Demikian titah Tuanku Raja Muda Perlis ketika berkenan berangkat menyempurnakan perasmian Program Titian Kasih Mega 2026 Peringkat Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Putra, Kangar.

Turut berangkat, Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Keberangkatan tiba Baginda berdua disambut oleh Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Perlis, Rose Aza Che Arifin serta Setiausaha Kehormat Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis, Datuk Johari Mohd Darus, dan Pengetua sekolah, Muhammad Nasron Mat Saad.

645 ORANG PELAJAR

Program anjuran YTSP Perlis dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Perlis ini melibatkan seramai 645 orang pelajar, terdiri daripada 320 pelajar lelaki dan 325 pelajar perempuan.

Sempena majlis tersebut, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan menyempurnakan Bengkel D’Putra Pastry, sebuah inisiatif latihan kemahiran yang memfokuskan kepada penghasilan pelbagai jenis pastri khususnya kuih raya, sebagai salah satu modul pembelajaran bagi pelajar Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI).

Tuanku Syed Faizuddin Putra turut berkenan menyaksikan demonstrasi penyediaan biskut yang dipersembahkan oleh pelajar-pelajar PPKI sekolah berkenaan.

MENCERMINKAN KOMITMEN BERTERUSAN

Dalam pada itu, kewujudan kemudahan seperti Bengkel D’Putra Pastry mencerminkan komitmen berterusan dalam memastikan tiada pelajar yang tercicir daripada arus pendidikan.

Prasarana yang disediakan bukan sekadar berbentuk fizikal, malah berperanan sebagai ruang pemangkin untuk menyerlahkan potensi, menyemai keyakinan diri serta memupuk daya usaha dan ketekunan.

Penguasaan kemahiran teknikal dalam bidang ini turut dilihat sebagai landasan penting ke arah masa depan yang lebih cerah, berkemahiran dan berdaya saing. – JM

Kongsi ke Media Sosial:

Paling Terkini

Semak Agihan

Semak Kutipan

Mohon

Bayar

Skip to content
This site is registered on wpml.org as a development site. Switch to a production site key to remove this banner.