Inovasi perkukuh penyampaian perkhidmatan Islam, titah Raja Muda Perlis

Inovasi perkukuh penyampaian perkhidmatan Islam, titah Raja Muda Perlis3

MATA AYER, 17 Julai 2026 – Inovasi perlu difahami sebagai usaha menambah baik cara berfikir, merancang dan menyampaikan perkhidmatan demi memastikan institusi Islam terus relevan serta mampu memenuhi keperluan masyarakat yang sentiasa berubah.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, inovasi bukan bermaksud mengubah prinsip agama, sebaliknya memperbaharui pendekatan agar penyampaian ilmu, dakwah, pengurusan zakat, wakaf, pendidikan Islam serta kebajikan ummah dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan, pantas, berfokus dan mesra masyarakat.

Baginda bertitah demikian ketika berangkat ke program MAIPs Peduli anjuran Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) di sekitar Kampung Gial, Mata Ayer, baru-baru ini.

Turut berangkat ialah Waris Yang Kedua Negeri Perlis, Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail.

Tuanku Syed Faizuddin turut berharap budaya inovasi dapat diterapkan di setiap peringkat pengurusan di negeri ini.

Baginda bertitah, semua pihak tidak seharusnya berasa terlalu selesa dengan amalan sedia ada sehingga menutup ruang kepada pembaharuan dan penambahbaikan.

Sebaliknya, setiap cabaran perlu dilihat sebagai peluang untuk memperkukuh tadbir urus, meningkatkan kecekapan serta mempertingkat kualiti penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.

Program Kayuhan MAIPs Peduli merupakan inisiatif berterusan MAIPs yang menggabungkan aktiviti riadah dengan usaha menyantuni masyarakat melalui penyerahan bantuan kepada golongan asnaf di seluruh negeri.

Program berkenaan turut memberi peluang kepada MAIPs meninjau sendiri keadaan penerima bantuan serta mengenal pasti keperluan semasa mereka supaya bantuan yang disalurkan lebih bersasar, tepat dan berkesan.

Sempena program itu, Tuanku Syed Faizuddin turut berkenan menyempurnakan penyampaian sumbangan MAIPs kepada tiga penerima asnaf terpilih iaitu Shaari Abas, 77, dari Kampung Gial; Udoh Dahaman, 93, dari kampung yang sama; serta Zainudin Zainal, 61, dari Kampung Gial Tengah.

Setiap penerima menerima sumbangan wang tunai RM700, Kit MAIPs Peduli serta beras fidyah bagi membantu meringankan beban perbelanjaan harian mereka.

Melalui penganjuran Kayuhan MAIPs Peduli, MAIPs terus komited memperkukuh agenda kebajikan dan kesejahteraan ummah dengan memastikan golongan yang memerlukan tidak tercicir daripada menerima perhatian serta bantuan yang sewajarnya.

Kongsi ke Media Sosial:

Paling Terkini

Semak Agihan

Semak Kutipan

Mohon

Bayar

Skip to content
This site is registered on wpml.org as a development site. Switch to a production site key to remove this banner.