KANGAR, 18 Julai – Institusi agama perlu bergerak seiring dengan perkembangan teknologi digital, kecerdasan buatan (AI) dan analitik data, namun penggunaannya hendaklah sentiasa dipandu oleh nilai-nilai Islam, integriti, akauntabiliti serta hikmah dalam setiap proses membuat keputusan.
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, kemajuan teknologi tidak boleh menjadi matlamat semata-mata, sebaliknya perlu dimanfaatkan bagi meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan kepada masyarakat tanpa mengabaikan prinsip-prinsip syariah dan tadbir urus yang baik.
Menurut baginda, kekuatan sesebuah institusi juga tidak hanya bergantung kepada kecanggihan teknologi atau sistem yang digunakan, malah lebih penting ialah kualiti modal insan yang menggerakkan organisasi berkenaan.
“Pegawai dan warga kerja yang amanah, berilmu, berfikiran terbuka serta sentiasa bersedia untuk belajar merupakan aset paling bernilai dalam memastikan organisasi masing-masing terus maju dan dihormati,” titah baginda.
Baginda bertitah demikian ketika berkenan berangkat ke Program Agihan Zakat MAIPs Peduli anjuran Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) di Masjid Tun Abd Razak, Repoh, di sini hari ini.
Turut berangkat ialah Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
Program Agihan Zakat MAIPs Peduli merupakan inisiatif berterusan MAIPs bagi memastikan bantuan zakat disampaikan secara terus kepada golongan asnaf yang layak, di samping mendekati masyarakat setempat serta mengenal pasti keperluan mereka bagi meningkatkan kesejahteraan hidup.
Pada majlis itu, MAIPs menyalurkan bantuan zakat berjumlah RM105,000 kepada 150 penerima asnaf, melibatkan 75 anak kariah Repoh dan 75 anak kariah Guar Syed Alwi.
Tuanku Syed Faizuddin Putra selaku Tuanku Yang Dipertua MAIPs turut berkenan menyempurnakan penyampaian sumbangan zakat sebanyak RM700 kepada setiap penerima.
Bantuan tersebut diharap dapat meringankan beban kehidupan golongan asnaf selain membantu memenuhi keperluan harian mereka.
Program berkenaan turut mencerminkan komitmen berterusan MAIPs dalam memperkukuh agenda kebajikan serta memastikan manfaat zakat dapat diperluaskan kepada lebih ramai golongan yang memerlukan di seluruh negeri Perlis.
Aplikasi MyHRMIS Mobile: Galeri Aplikasi Mudah Alih Kerajaan Malaysia