KANGAR: Islam membina tamadun manusia di atas asas ilmu, hikmah, dan kefahaman yang benar.
Al-Qur’an tidak diturunkan hanya sebagai bacaan ibadah semata-mata, tetapi sebagai petunjuk hidup, cahaya kebenaran dan panduan yang membimbing manusia keluar dari kejahilan.
Islam sesungguhnya ialah agama yang mengajak umatnya kepada kebijaksanaan dan menolak segala bentuk pemikiran yang dangkal dan kejahilan. Islam tidak menjadikan umatnya golongan yang lemah akal, menyerah tanpa berfikir, atau sekadar mengikut membuta tuli.
Sebaliknya, Islam mengangkat umatnya agar menjadi golongan yang cerdas, berfikir dengan waras dan bijak, memahami agama berdasarkan hujah dan dalil yang sahih, serta mampu menilai kebenaran dengan ilmu yang benar.
Demikian menurut kenyataan Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang mengulangi topik kutbah jumaat pada hari semalam sebagai rujukan selepas berkenan berangkat menghadiri slot ceramah yang disampaikan oleh Dr Syafiq Riza Hasan Basalamah dari Indonesia bertajuk ‘Khurafat Kubur, Menyanggahi Nas dan Akal’ di Perkampungan Sunnah Siri Ke-10 (PS10) yang berlangsung di Masjid Alwi Kangar pada malam tadi.
Keberangkatan Baginda bersama-sama Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil disambut oleh Mufti Perlis, Datuk Arif Perkasa Dr Mohd Asri Zainul Abidin dan Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Hj Mohd Nazim Mohd Noor.
PS10 pada kali ini mendapat sambutan yang sungguh luarbiasa dengan ribuan hadirin memenuhi ruang-ruang masjid berkenaan.