Jadikan budaya integriti dalam semua urusan – Raja Muda Perlis

Oleh: Sholina Osman
16 JUN 2025

Jadikanlah budaya integriti, ketelusan, disiplin dan inovasi sebagai teras kepada semua urusan.

Pemimpin dan warga kerja yang berpegang kepada nilai-nilai ini akan melahirkan organisasi yang diyakini, dihormati dan disegani.

Pada masa yang sama, budaya kerja cemerlang adalah nadi kepada pentadbiran yang berkesan dan bertanggungjawab.

Ia bukan sekadar slogan, tetapi satu amalan yang mesti dibudayakan secara konsisten dalam setiap tindakan dan keputusan yang dibuat.

DINILAI OLEH MASYARAKAT

Setiap amanah yang dipikul juga bukan sahaja dinilai oleh masyarakat, bahkan akan dipersoalkan di hadapan Allah SWT.

Maka, laksanakanlah segala tanggungjawab yang diamanahkan dengan penuh iltizam, integriti dan kesedaran spiritual.

Demikian titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas berkenan berangkat menyampaikan sumbangan agihan zakat Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) berjumlah RM105,000 di Masjid Sirajuddin, Jalan Kaki Bukit dekat Kangar, yang melibatkan seramai 150 penerima, iaitu 75 orang daripada kalangan anak kariah Padang Pauh dan 75 orang lagi daripada anak kariah Paya.

DARI PENGURUSAN TERTINGGI

Program tersebut turut dihadiri sama oleh delegasi dari pengurusan tertinggi RHB Islamic Bank Berhad dan juga Majlis Amanah Rakyat (MARA).

Pihak RHB Islamic Bank menyumbangkan RM30,000 untuk program yang sama.

Selaku Yang DiPertua MAIPs, Tuanku Syed Faizuddin Putra turut berkenan kemudiannya menyantuni kediaman tiga orang asnaf terpilih, iaitu Harum Bakar, 70 dari Kampung Behor Inai, Abdul Nasir Abdul Rahman, 63 dan Raba’ayah Shahar, 83, kedua-duanya dari Kampung Padang Pauh.

Setiap penerima menerima sumbangan daripada MAIPs berupa wang tunai sebanyak RM700, Kit MAIPs Peduli, serta beras fidyah bagi membantu memenuhi keperluan harian masing-masing.

Pihak RHB Islamic Bank dan juga MARA melalui Rural Capital Berhad (RCB) turut menyumbangkan bantuan wang tunai kepada ketiga-tiga keluarga yang dikunjungi tersebut. – JM

Kongsi ke Media Sosial:

Paling Terkini

Semak Agihan

Semak Kutipan

Mohon

Bayar

Skip to content