ARAU: ‘Perubahan zaman dan arus pemodenan tidak boleh dijadikan ‘alasan’ untuk kita mengabaikan adat istiadat yang telah menjadi tunjang kepada keharmonian negeri dan rakyat’.
‘Dalam usaha mempertahankan adat istiadat, kita harus memastikan ia terus relevan dengan nilai-nilai Islam dan budaya masyarakat moden tanpa mengorbankan keasliannya’.
‘Adat istiadat juga bukan sekadar warisan turun-temurun, tetapi merupakan jati diri yang mencerminkan kebijaksanaan generasi terdahulu kita dalam membentuk sebuah masyarakat yang beradab, berbudaya dan berdaulat’.
‘Oleh itu, Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) sebagai badan yang diamanahkan untuk menjaga dan memelihara adat istiadat Melayu Perlis akan sentiasa memastikan kesinambungan warisan ini dengan lebih tersusun, berkesan dan sesuai dengan tuntutan zaman’.
Demikian titah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas berkenan berangkat menyempurnakan program Hijrah Minda anjuran Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) di Masjid Al-Islah Ngulang.
Keberangkatan tiba baginda diiringi oleh Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil serta anakanda baginda berdua, Warisnya Yang Kedua Negeri Perlis, Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail disambut oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MAIPs, Haji Mohd Nazim Mohd Noor.
Dalam majlis tersebut, Tuanku Raja Muda dan Tuanku Raja Puan Muda turut berkenan menyempurnakan penyampaian agihan zakat MAIPs berjumlah RM210,000 kepada 300 orang penerima yang terdiri daripada 75 orang anak kariah dari Ngulang, 75 orang dari Perawah, 75 orang dari Chuping dan 75 orang lagi dari Panggas.
Program ini mencerminkan keprihatinan MAIPs yang diterjui oleh baginda dalam menyantuni rakyat serta memperkukuh nilai-nilai murni dan kesejahteraan ummah.