1 MAC 2025
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah mengingatkan umat Islam tidak membiarkan sebarang perbezaan kecil menjadi punca kepada persengketaan dalam semangat menyambut Ramadan.
Baginda bertitah, sebaliknya umat Islam perlu mengutamakan nilai persaudaraan dan kasih sayang.
“Sebagai satu Ummah, kita perlu saling menyokong, bertolak ansur, dan menjauhi segala perpecahan,” titah Baginda.
Tuanku Syed Faizuddin bertitah demikian di Masjid Chalong sempena Program Ziarah Mahabbah Ihyak Ramadan MAIPs Bersama Tuanku Raja Muda Perlis serta Delegasi Ke Wilayah Satun, Thailand Bagi Tahun 2025.
Berkenan berangkat Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil serta anakanda Baginda, Hajah Sharifah Farah Adriana Jamalullail.
Hadir sama Setiausaha Kerajaan
Negeri Datuk Rahimi Ismail, Mufti Perlis Prof Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin, Naib Canselor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Prof Datuk Dr Zaliman Sauli dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor.
DALAM SUASANA HARMONI
“Sesungguhnya, saya amat gembira melihat masyarakat di sini hidup dalam suasana harmoni dan penuh rasa kekitaan,” titah Baginda.
Titah Baginda, semangat gotong-royong, tolong-menolong, dan hormat-menghormati yang diamalkan harus terus diperkukuh dan diwarisi oleh generasi akan datang.
“Selain itu, kita juga harus berusaha menjaga kebersihan masjid dan persekitaran sebagai tanda kesyukuran kita kepada Allah SWT atas segala nikmat yang diberikan,” titah Baginda.
Baginda bertitah supaya semua umat Islam memanfaatkan Ramadan kali ini dengan sebaik-baiknya.
“Tingkatkanlah amal ibadah, perbaiki hubungan sesama manusia, dan sebarkanlah kasih sayang dalam masyarakat terutamanya kita di Perlis, Malaysia dan di Wilayah Satun, Thailand ini,” titah Baginda.
MEMBAWA PERUBAHAN POSITIF
Tuanku Syed Faizuddin Putra mengajak seluruh umat Islam menjadikan Ramadan ini sebagai bulan yang membawa perubahan positif dalam hidup kita.
“Semoga Allah SWT merahmati kita semua, menerima segala amalan serta mengurniakan kita kekuatan dan kesabaran dalam menempuh bulan yang mulia ini. InsyaAllah,” titah Baginda.
Sempena majlis berkenaan Raja Muda, Raja Puan Muda serta anakanda berkenan mengacau Bubur Perlis yang dilaksanakan secara gotong-royong oleh anak kariah masjid berkenaan.
Kedua Baginda juga menunaikan Solat Jumaat bersama penduduk di masjid berkenaan.
Tuanku Syed Faizuddin Putra yang juga Yang Dipertua MAIPs berkenan menyampaikan sumbangan Ihyak Masjid sebanyak RM5,000 berserta kurma kepada Masjid Chalong.
Tarikh kemaskini: 3/4/2025