Kangar – Penutupan Majlis Tilawah dan Hafazan al-Quran Peringkat Kebangsaan (MTHQK) 2025 yang berlangsung di Dewan 2020, Kangar, baru-baru ini menyaksikan Kedah Darul Aman sebagai johan keseluruhan dengan empat orang peserta dari negeri tersebut mendapat tempat sebagai pemenang.
Kedah berjaya memenangi hadiah antaranya bagi Tilawah al-Quran Kategori Qari dan Qariah, mereka membawa pulang wang berserta piala, cenderamata dan sijil penyertaan.
Qari dari Perak, Aiman Ridhwan Mohamad Ramlan dan qariah Wan Sofea Aini Wan Mohd Zahidi yang mewakili Terengganu muncul sebagai johan Tilawah al-Quran Peringkat Kebangsaan 2025/1445H.
Masing-masing membawa pulang wang tunai sebanyak RM20,000 dan tambahan RM10,000 untuk menunaikan haji berserta piala, cenderamata dan sijil penyertaan.
Mereka juga menerima satu dinar emas Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YAPEIM) Gold dan telefon pintar kurniaan Raja Perlis.
Sementara itu, bagi kategori hafazan 30 juzuk berserta tafsir, Muhammad Adib Ahmad Rozaini dari Perak dan Putri Auni Khadijah Mohd Hanif dari Kelantan diumumkan sebagai pemenang, masing-masing bagi bahagian lelaki dan perempuan.
Raja Perlis, Duli Yang Maha Mulia Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail Ibni Almarhum Syed Putra Jamalullail berkenan menyempurnakan majlis penutupan serta pengurniaan hadiah kepada para pemenang.
Turut serta dalam pengurniaan hadiah ialah Raja Perempuan Perlis, Tuanku Tengku Fauziah Almarhum Tengku Abdul Rashid serta pemimpin kerajaan negeri.
MTHQK 2025 yang berlangsung sejak 27 April 2025 lalu menghimpunkan sebanyak 109 peserta dari seluruh negara yang bertanding dalam kategori tilawah dan hafazan al-Quran.
Penganjuran edisi pada kali ini lebih istimewa kerana diadakan bersempena dengan Sambutan Jubli Perak Pemerintahan Raja Perlis.
Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) yang turut mempengerusikan jawatankuasa jemaah hakim, YBhg. Dato’ Dr. Sirajuddin Suhaimee menyifatkan prestasi peserta pada kali ini adalah amat memberangsangkan.
Rata-rata bacaan yang dipersembahkan bagi kedua-dua kategori meningkat, sekali gus membuktikan penguasaan peserta semakin baik dengan dilengkapkan persediaan rapi sebelum pertandingan.
Johan akan mewakili negara ke Majlis Tilawah dan Menghafaz al-Quran peringkat antarabangsa yang dijadualkan berlangsung di Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur dari 2 Ogos hingga 9 Ogos 2025.
Dato’ Dr. Sirajuddin mengharapkan penganjuran MTHQK 2025 meninggalkan seribu satu kenangan terutama buat tuan rumah.
Menurut beliau, hal ini membuktikan kerjasama kolektif yang padu antara kerajaan pusat dengan kerajaan negeri dalam penganjuran program berprestij ini.
“Pada yang sama, diharapkan al-Quran terus disemarakkan dengan pembudayaan dan pengamalan isi kandungan Kalamullah tersebut dalam kalangan masyarakat MADANI, memperkukuh gagasan Malaysia MADANI seterusnya membuktikan Islam mekar di bumi Malaysia,” ujarnya.