BUKIT KETERI, 30 Mei – Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat menyaksikan Majlis Serah Terima Tugas Timbalan Komander Rejimen 504 Askar Wataniah (AW) yang berlangsung di Dewan Syed Faizuddin Putra, Kem Bukit Keteri, dekat sini hari ini.
Turut berangkat sama ialah Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
Keberangkatan Baginda berdua disambut oleh Timbalan Komander Rejimen 504 AW ke-23, Leftenan Kolonel Lasahi Laiji dan Timbalan Komander Rejimen 504 AW ke-24 yang baharu, Leftenan Kolonel Mohd Azwan Ariff Mohd Azawi.
Turut hadir ialah Mohd Fouzi Sulaiman bersama pegawai dan anggota Rejimen 504 AW.
Pada majlis tersebut, Tuanku Syed Faizuddin Putra selaku Tuanku Komander berkenan menyaksikan simbolik penyerahan Nota Serah Terima Tugas antara Lasahi dan Mohd Azwan Ariff sebagai lambang kesinambungan kepimpinan serta amanah dalam memperkukuhkan kecemerlangan Rejimen 504 Askar Wataniah.
Sepanjang tempoh perkhidmatannya selama tiga tahun sembilan bulan 25 hari sebagai Timbalan Komander, Lasahi telah menunjukkan komitmen tinggi dalam memperkasakan kesiapsiagaan anggota, memperkukuhkan disiplin serta memantapkan semangat patriotisme dan kesukarelawanan dalam kalangan warga pasukan itu.
Dalam ucapannya, beliau merafakkan setinggi-tinggi menjunjung kasih kepada Tuanku Syed Faizuddin Putra atas kepercayaan, perkenan dan sokongan yang diberikan sepanjang beliau memegang amanah tersebut.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada seluruh pegawai dan anggota Rejimen 504 AW atas kerjasama, komitmen serta semangat setiakawan yang ditunjukkan sepanjang tempoh perkhidmatannya.
“Semangat disiplin, dedikasi dan kesungguhan yang dipamerkan oleh seluruh warga rejimen ini amat membanggakan. Semoga nilai-nilai tersebut terus dipertahankan demi memastikan kecemerlangan dan kehormatan Rejimen 504 AW sentiasa terpelihara,” katanya.
Majlis berkenaan bukan sahaja melambangkan pertukaran kepimpinan secara rasmi, malah mencerminkan kesinambungan tradisi kepimpinan berintegriti dalam memperkukuhkan kesiapsiagaan pertahanan negara serta memperkasakan peranan Askar Wataniah sebagai benteng sokongan utama kepada Angkatan Tentera Malaysia.
Keberangkatan Raja Muda Perlis selaku Tuanku Komander turut mencerminkan sokongan berterusan institusi diraja terhadap pembangunan kekuatan pertahanan negara, khususnya dalam menyemarakkan semangat patriotisme, perpaduan dan jati diri dalam kalangan anggota keselamatan tanah air.
Terdahulu, Baginda berdua turut meluangkan masa menyaksikan pelaksanaan ibadah korban peringkat rejimen yang diadakan di kawasan Sirkit Merentas Halangan Syed Sirajuddin Areeb Putra di kem tersebut. Sempena Aidiladha tahun ini, sebanyak empat ekor lembu dikorbankan dalam program yang melibatkan warga Rejimen 504 AW.
Aplikasi MyHRMIS Mobile: Galeri Aplikasi Mudah Alih Kerajaan Malaysia