KANGAR: Keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 bagi negeri Perlis mencatatkan peningkatan memberangsangkan dengan Gred Purata Negeri (GPN) 4.57 berbanding 4.74 pada tahun 2023.
Lebih membanggakan, bilangan calon yang memperoleh keputusan cemerlang dalam semua mata pelajaran iaitu Gred A+, A dan A- turut menunjukkan peningkatan yang ketara berbanding tahun sebelumnya.
Seramai 89 calon atau 2.96% berjaya meraih keputusan cemerlang dalam semua subjek, berbanding hanya 50 calon atau 1.73% pada tahun 2023. Ini merupakan peningkatan sebanyak 39 calon atau 1.23%, sekali gus mencerminkan peningkatan prestasi akademik serta komitmen tinggi dalam kalangan pelajar cemerlang di Perlis.
Maklumat tersebut telah dipersembah maklumkan oleh Pengarah Pendidikan Negeri Perlis, Rose Aza Che Arifin kepada Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail di Majlis Riang Raya Aidilfitri Faizuddin Centre Of Educational Excellence (FCoEE) di Kangar semalam.
Turut berangkat sama adalah Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
Keberangkatan tiba Duli-Duli Tuanku disambut oleh Pengerusi Eksekutif FCoEE, Prof. Emeritus Datuk Dr. Kamarudin Hussin dan isteri, Datin Noridah Yangman.
Tuanku Syed Faizuddin Putra dan Tuanku Lailatul Shahreen Akashah menzahirkan ucapan tahniah kepada semua pelajar SPM 2024, para guru, kakitangan sekolah serta seluruh warga Jabatan Pendidikan Negeri Perlis atas usaha gigih dan dedikasi yang telah membuahkan hasil dengan pencapaian yang amat membanggakan.
Tuanku Raja Muda turut berharap agar kejayaan ini menjadi sumber inspirasi dan pembakar semangat kepada para pelajar Perlis yang bakal menduduki peperiksaan SPM 2025 pada hujung tahun ini, seterusnya meraih keputusan yang lebih cemerlang.