Kerjasama antara Jabatan Nadi Kecemerlangan MAIPs – Raja Muda Perlis

Kerjasama antara Jabatan Nadi Kecemerlangan MAIPs – Raja Muda Perlis

Padang Besar – Raja Muda Perlis, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah bahawa jalinan kerjasama yang erat, sikap saling menyokong serta saling melengkapi antara jabatan merupakan kekuatan utama yang membolehkan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) terus melaksanakan amanah kepada ummah dengan berkesan dan cemerlang.

Pada masa yang sama, baginda turut menzahirkan penghargaan kepada semua jabatan dan agensi yang sentiasa berdiri teguh bersama MAIPs, sama ada ketika menghadapi cabaran mahupun meraikan kejayaan.

Tuanku Raja Muda juga berharap agar setiap bentuk pengiktirafan yang diberikan mampu menjadi pemangkin inspirasi kepada seluruh warga kerja untuk terus meningkatkan mutu perkhidmatan kepada masyarakat, di samping memartabatkan institusi ke tahap yang lebih gemilang.

“Teruskanlah usaha dan komitmen dalam mengekalkan momentum kecemerlangan, dengan menghasilkan kerja yang lebih berkualiti, produktif dan progresif”.

Demikian titah DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra selaku Yang Dipertua ketika berkenan berangkat menyempurnakan sambutan Majlis Apresiasi Perkhidmatan Terpilih dan Keterampilan Jabatan dan Agensi Bersama-sama MAIPs Tahun 2025 yang berlangsung di Lee Garden Resort & Café, Padang Besar, dengan diiringi Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Keberangkatan tiba baginda berdua ke majlis yang bertemakan Afrika bagi tahun ini disambut oleh Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Encik Haji Mohd Nazim Mohd Noor.

Tambah Tuanku Raja Muda, budaya saling menghargai, hormat-menghormati, serta semangat kekitaan perlu terus diperkukuhkan dalam setiap organisasi.

Menurut baginda, sesebuah institusi tidak hanya dinilai melalui pencapaian semata-mata, sebaliknya turut diukur menerusi kesatuan hati serta keutuhan warganya dalam mendepani cabaran bersama-sama.

Majlis ini merupakan program tahunan anjuran MAIPs yang bertujuan menghargai kecemerlangan serta komitmen warga kerja di bawah seliaannya, termasuk agensi-agensi rakan strategik.

Sempena majlis tersebut, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra berkenan menyempurnakan penyampaian Anugerah Perkhidmatan Terpilih kepada penerima lelaki yang terdiri daripada Pejabat DYMM Tuanku Raja Perlis, MAIPs, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs), Jabatan Mufti Negeri Perlis, Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Perlis, serta Jabatan Pendakwaan Syariah Negeri Perlis.

Penyampaian anugerah kepada para penerima wanita pula disempurnakan oleh Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah.

Kongsi ke Media Sosial:

Paling Terkini

Semak Agihan

Semak Kutipan

Mohon

Bayar

Skip to content
This site is registered on wpml.org as a development site. Switch to a production site key to remove this banner.