KANGAR, 12 Feb — Pendidikan Islam di negeri Perlis terus diperkasakan menerusi jalinan kerjasama strategik melibatkan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs) dan Maahad At-Tarbiyah Al-Islamiyyah (MATRI) melalui pemeteraian perjanjian Program Sekolah Agama Seliaan Majlis (SASM).
Pemeteraian itu bertujuan melonjakkan kualiti pendidikan agama di negeri ini, sekali gus memastikan MATRI kekal relevan sebagai institusi pendidikan Islam yang unggul.
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail merangkap Tuanku Yang Dipertua MAIPs berkenan menyaksikan sesi menandatangani perjanjian tersebut di Kompleks Jabatan Pendidikan Negeri Perlis baru-baru ini.
MAIPs diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, Haji Mohd Nazim Mohd Noor, manakala JAIPs diwakili Pengarahnya, Maizura Shamsuddin. Pemeteraian bagi pihak MATRI disempurnakan Pengerusi Lembaga Pengelola, Haji Sharihan Shahidan.
Turut hadir menyaksikan majlis itu ialah Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis, Datuk Rahimi Ismail serta Naib Presiden 3 Himpunan Lepasan Institusi Pendidikan Malaysia (HALUAN), Sr. Baderol Allam Awang.
Mohd Nazim berkata kerjasama berkenaan dirangka untuk tempoh lima tahun dengan mekanisme pembaharuan secara tahunan.
Katanya, penilaian pembaharuan akan dibuat berdasarkan pencapaian hala tuju SASM yang dipersetujui bersama bagi memastikan setiap sasaran berada pada landasan tepat.
“Langkah ini merupakan pendekatan proaktif untuk memantau perkembangan institusi secara berkala dan dinamik,” katanya.
Beliau berkata kerjasama itu sebahagian daripada rangka kerja Pelan Strategik Bersasar MAIPs 2026–2030 yang bertujuan memacu kecemerlangan akademik, memperkukuh pemantauan sahsiah pelajar serta memantapkan sistem pengurusan MATRI.
Melalui seliaan lebih tersusun di bawah MAIPs menerusi JAIPs, MATRI dijangka mampu melahirkan generasi cemerlang ilmu dan tinggi sahsiah.
Pemeteraian itu mencerminkan kesungguhan MAIPs dan JAIPs memayungi institusi pendidikan swasta di Perlis agar bergerak seiring visi negeri, selain meningkatkan tahap profesionalisme tadbir urus dan kualiti pengajaran bagi mendepani cabaran pendidikan semasa.
Aplikasi MyHRMIS Mobile: Galeri Aplikasi Mudah Alih Kerajaan Malaysia