PAUH PUTRA, 7 Feb – Sepanjang tahun 2025, lebih 210,000 jemaah terdiri daripada pelajar dan kakitangan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) direkodkan mengimarahkan dua pusat ibadah utama universiti itu, iaitu Surau UniMAP Kampus Alam Pauh Putra dan Musolla Soodah di Kampus UNICITI Alam Sungai Chuchoh.
Surau UniMAP Pauh Putra muncul sebagai pusat tumpuan utama dengan catatan kehadiran melebihi 120,000 jemaah. Musolla Soodah pula merekodkan lebih 90,000 jemaah bagi solat lima waktu serta solat Jumaat.
Pencapaian tersebut mencerminkan suburnya budaya kerohanian dalam kalangan warga UniMAP serta tahap kesedaran tinggi terhadap keseimbangan antara tuntutan rohani dan kecemerlangan akademik.
Usaha kolektif itu selari dengan aspirasi universiti untuk melahirkan graduan berilmu, berkemahiran serta berakhlak mulia, selain seimbang dari aspek jasmani, emosi, rohani dan intelek.
Maklumat berkenaan dipersembahkan Pengarah Pusat Islam dan Pembangunan Insan UniMAP, Muhamad Adib Haji Hassan kepada Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail merangkap Tuanku Canselor selepas baginda berkenan menunaikan solat Maghrib di Surau UniMAP Pauh Putra.
Keberangkatan baginda adalah sempena program Walking Treasure Hunt bersama ketua-ketua jabatan serta agensi negeri dan persekutuan anjuran UniMAP yang berlangsung di Perpustakaan Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail (PTSFPJ) baru-baru ini.
Turut berangkat Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil selaku Tuanku Pro Canselor. Ketibaan baginda berdua disambut Naib Canselor UniMAP, Datuk Prof. Dr. Zaliman Sauli.
Program itu disertai lebih 70 peserta yang dibahagikan kepada tujuh kumpulan, dengan setiap kumpulan perlu menyelesaikan lapan tugasan merangkumi pelbagai bahagian perpustakaan, termasuk Pusat Autism Higher Education and Research Training (A-HEART), Sensory Room, kafe He & She Coffee serta ruang pembelajaran dan santai lain bagi memperkenalkan fasiliti perpustakaan universiti tersebut.
Aplikasi MyHRMIS Mobile: Galeri Aplikasi Mudah Alih Kerajaan Malaysia