LIMA boleh dijadikan wadah pameran aset termoden: Raja Muda Perlis

LANGKAWI: Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi (LIMA) dapat dijadikan wadah untuk pameran dan pertunjukkan aset-aset moden yang canggih bagi domain maritim serta aeroangkasa.

Raja Muda Perlis, Brigedier Jeneral Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, peluang ini seharusnya dioptimumkan oleh para pemegang taruh terlibat bagi memodenkan keupayaan dan kapabiliti angkatan masing-masing dalam menghadapi ancaman masa kini dan masa hadapan.

Titah baginda, dari perspektif strategik pada ketika ini dengan persekitaran keselamatan dan geo-strategik tidak menentu, kewujudan pelbagai bentuk ancaman seperti ketidaktentuan hubungan kuasa-kuasa besar dapat memberi implikasi terhadap keselamatan negara serta serantau.

“Kejiranan Asia Tenggara yang kompleks dan ancaman keselamatan bukan tradisional seperti keganasan, ekstremisme, ancaman siber, ancaman keselamatan maritim, bencana alam dan sebagainya dapat memberikan implikasi terhadap keselamatan negara dan serantau,” titah baginda selepas berkenan berangkat mengadakan lawatan ke LIMA’25 di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri, di sini hari ini.

Turut mengiringi baginda adalah Raja Puan Muda Perlis, Mejar (Kehormat) Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil beserta anakanda, Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail dan Hajah Sharifah Khatreena Nuraniah Jamalullail.

Dalam pada itu, Tuanku Syed Faizuddin bertitah, tema penganjuran LIMA’25 iaitu ‘Innovate Today, Thrive Tomorrow’ adalah bertepatan dan menekankan kepentingan inovasi dalam meningkatkan daya saing industri.

“Para usahawan dan perniagaan serta penyertaan dari Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dalam kedua-dua sektor ini perlu ditingkatkan,” titah baginda.

Titah baginda, sejak penganjurannya, LIMA merupakan antara pameran maritim dan aeroangkasa terkemuka di rantau Asia Pasifik dan menyediakan landasan terbaik untuk menjamin keselamatan serta pertahanan negara.-UTUSAN

Kongsi ke Media Sosial:

Paling Terkini

Semak Agihan

Semak Kutipan

Mohon

Bayar

Skip to content