LIMA’25: Unimap meterai MoU, MoA kerjasama pelbagai bidang

LANGKAWI: Universiti Malaysia Perlis (Unimap) memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Glide Marine Sdn. Bhd. bersempena Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2025 (LIMA’25), hari ini.

MoU itu ditandatangani oleh Naib Canselornya, Prof. Datuk Dr. Zaliman Sauli dan Ketua Pegawai Operasi Glide Marine, Hasnizan Hassan dengan disaksikan Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail merangkap Canselor Unimap.

Turut berangkat, Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil merangkap Pro Canselor Unimap bersama anakanda, Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail dan Hajah Sharifah Khatreena Nuraniah Jamalullail.

Melalui MoU ini, kedua-dua pihak akan bekerjasama dalam pelbagai bidang termasuk Program Pembelajaran Berasaskan Industri (Work-based Learning), penempatan pelajar industri, penyelidikan bersama serta penganjuran seminar dan persidangan.

Selain itu, MoU berkenaan juga akan berkuat kuasa serta-merta dan sah untuk tempoh lima tahun dari tarikh ditandatangani.

Dalam majlis sama, Zaliman turut memeterai satu Memorandum Perjanjian (MoA) dengan Boomslang Dynamics Sdn. Bhd yang diwakili Pengarah Urusan Kumpulannya, Aadil Ashreff Wadvalla.

Kerjasama ini melibatkan pelaksanaan projek penyelidikan selama 18 bulan dengan jumlah pembiayaan sebanyak RM300,000 di bawah program Industry Matching Programme (IMaP).

Projek ini dijangka menyumbang kepada pembangunan teknologi pesawat tanpa pemandu (UAV) tempatan dan menghasilkan Harta Intelek (IP), laporan teknikal serta video pendek sebagai bahan akademik dan komersial.

Kerjasama ini merupakan satu inisiatif strategik yang selari dengan aspirasi Unimap untuk memperkukuh penglibatan dalam penyelidikan dan inovasi bersama industri, sekali gus mempercepat pembangunan teknologi tempatan dalam sektor aeroangkasa.

Dalam pada itu, Zaliman berkata, pementeraian MoU dan MoA itu dijangka memberi manfaat kepada pembangunan modal insan dan jaringan industri Unimap dalam bidang teknikal dan kejuruteraan sejajar dengan matlamat universiti untuk menjadi peneraju pendidikan teknikal bertaraf global.-UTUSAN

Kongsi ke Media Sosial:

Paling Terkini

Semak Agihan

Semak Kutipan

Mohon

Bayar

Skip to content