BUKIT KETERI, 7 Februari 2026 – Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) pada tahun ini akan memberi keutamaan kepada keberkesanan program, kelestarian sumber, pemantapan aset serta pengurusan risiko yang lebih sistematik.
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, MAIPs juga akan meneruskan usaha meningkatkan kecekapan dan ketelusan melalui penggunaan teknologi semasa, di samping menggalakkan budaya kerja berteraskan data dan analitik.
Baginda bertitah demikian selepas berkenan berangkat mengetuai program MAIPs Peduli anjuran MAIPs di sekitar Bukit Keteri baru-baru ini.
Keberangkatan Baginda diiringi ketua-ketua jabatan dan agensi negeri serta Persekutuan bagi menyelami sendiri keluh kesah golongan kurang bernasib baik di negeri ini.
Menurut Baginda, inisiatif turun padang seperti itu membolehkan pihak bertanggungjawab mengenal pasti serta menangani isu secara terus dan lebih berkesan.
Sebagai contoh, sekiranya kediaman asnaf dikenal pasti mengalami kerosakan seperti bumbung bocor atau struktur rumah yang uzur, bantuan baik pulih boleh dipertimbangkan dan diluluskan segera berdasarkan tinjauan fizikal yang dijalankan.
Selain itu, program kayuhan tersebut turut membuka ruang menyelesaikan isu lain termasuk dokumentasi pengenalan diri serta masalah persekolahan anak-anak. Dengan kehadiran ketua jabatan berkaitan, sebarang masalah yang dikenal pasti boleh dirujuk dan ditangani secara langsung sekali gus mempercepat proses bantuan.
Sempena program itu, Tuanku Syed Faizuddin Putra yang juga Tuanku Yang Dipertua MAIPs berkenan menyantuni serta menyampaikan sumbangan agihan zakat kepada tiga penerima iaitu Siti Darishah Man, 86, dari Kampung Masjid Bukit Keteri; Maneh Abdullah, 76, dari Kampung Bilal Uduh; dan Wan Zainol Mahzar Wan Hamzah, 40, dari kampung sama.
Setiap penerima menerima sumbangan wang tunai RM700, kit MAIPs Peduli mengandungi barangan keperluan asas harian serta beras fidyah.
Aplikasi MyHRMIS Mobile: Galeri Aplikasi Mudah Alih Kerajaan Malaysia