KUALA LUMPUR, 9 Februari 2026 — Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) akan terus melipatgandakan usaha menyalurkan bantuan yang bukan sekadar berbentuk kelegaan jangka pendek, sebaliknya digerakkan secara lebih menyeluruh ke arah pemerkasaan ekonomi asnaf agar golongan tersebut mampu keluar daripada kepompong kemiskinan secara berkekalan.
Demikian titah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail ketika berkenan berangkat menerima sembah taklimat Bengkel Halatuju 2026–2030 MAIPs di ibu negara baru-baru ini.
Baginda menegaskan bahawa kekuatan sesebuah institusi tidak hanya terletak pada struktur pentadbiran, tetapi pada nilai serta akhlak penjawatnya. Sehubungan itu, Baginda mahu MAIPs terus memupuk budaya kerja berintegriti tinggi, profesional dan penuh ihsan dalam setiap urusan.
Berangkat sama Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil serta anakanda-anakanda puteri Baginda berdua, Hajah Sharifah Khatreena Nuraniah Jamalullail dan Hajah Sharifah Farah Adriana Jamalullail.
Tuanku Syed Faizuddin Putra yang juga Tuanku Yang Dipertua MAIPs turut mengingatkan seluruh warga Majlis supaya mempersiapkan diri dengan tekad baharu, berfikiran jauh dan sentiasa berpijak pada prinsip amanah sebagai teras utama organisasi.
Menurut Baginda, MAIPs perlu berani mengemudi inovasi, meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan serta lebih dekat dengan denyut nadi rakyat yang memerlukan.
Baginda turut menyeru agar setiap keputusan dan perancangan yang dipersetujui disusuli pemantauan rapi serta pelaksanaan berkesan.
“Tiada maknanya sesuatu dasar atau strategi jika ia tidak diterjemahkan menjadi manfaat nyata kepada golongan yang memerlukan di negeri Perlis tercinta ini,” titah Baginda.
Aplikasi MyHRMIS Mobile: Galeri Aplikasi Mudah Alih Kerajaan Malaysia