Oleh: Sholina Osman
Foto : Ihsan MAIPs.
2 MAC 2026
Menelusuri angka 106 tahun bukanlah suatu perbuatan yang mudah dalam perjalanan sesebuah organisasi.
Bermula pada 1 Mac 1920, di bawah pemerintahan DYMM Raja-raja Wangsa Jamalullail Perlis, Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) yang bermula sebagai urus setia kini menjadi sebuah institusi bermaruah yang mencorak dasar kemajuan negeri Perlis dengan berpaksikan al-Quran dan as-Sunnah, serta Insya-Allah terus kekal relevan untuk berabad-abad lagi.
Berpandukan minit-minit mesyuarat Perlis State Council sekitar tahun 1919 hingga 1922, maka berkemungkinan besar cadangan awal ke arah penubuhan MAIPs telah diangkat pada sekitar tahun 1920.
DEWAN PENASIHAT RAJA
Walau bagaimanapun, MAIPs yang belum dinamakan MAIPs pada ketika itu telah berperanan sebagai Dewan Penasihat Raja yang dipengerusikan oleh Almarhum Raja Syed Alwi Ibni Syed Safi Jamalullail sendiri dan dianggotai oleh semua ahli Majlis Mesyuarat Negeri Perlis yang lain seperti Kadhi Besar Mohd Noor Muhammad dan Datuk Wan Teh Datuk Arau, kecuali Penasihat British yang tidak beragama Islam.
Merujuk minit mesyuarat Perlis State Council sepanjang tahun 1909 hingga 1920, didapati perkara berkaitan dengan pengurusan “Zakat” hanya mula dibincangkan secara terperinci dalam mesyuarat bertarikh 1 Mac 1920 bersamaan 3 Jamadil Akhir 1338H.
Antara lain cabutan minit mesyuarat yang dijalankan pada satu abad yang lalu diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris seperti berikut:
“ 1. Subject. A letter from the Kathi regarding the collection of “Zakat” (tithes) by mosque officials is read.
Decision. It is decided that the Kathi should prepare and distribute notices advising people of their duty in respect of “Zakat”.
KEPUTUSAN BAHAWA “KATHI”
Oleh yang demikian, dalam persidangan pada 1 Mac 1920 yang berkenaan, mesyuarat yang dipengerusikan sendiri oleh Almarhum Raja Syed Alwi Jamalullail telah membuat keputusan bahawa “Kathi” adalah bertanggungjawab untuk menyediakan dan mengedarkan maklumat (notis) mengenai kewajiban membayar zakat kepada seluruh rakyat Perlis.
Berdasarkan maklumat ini, peranan MAIPs sebagai agensi yang bertanggungjawab terhadap pengurusan “Zakat” telah bermula secara formal semenjak tahun 1920 lagi.
Asas pengambilan 1920 sebagai tahun permulaan MAIPs juga disandarkan kepada perbandingan dengan beberapa buah negeri Melayu yang menubuhkan Majlis Agama Islam masing-masing juga pada sekitar tahun 1900-an iaitu di Kelantan telah ditubuhkan MAIK pada 1915, di Johor wujudnya MAIJ (1925) dan di Pahang didirikan MUIP (1926).
HIPOTESIS PENUBUHAN MAIPs
Secara tidak langsung, hipotesis penubuhan MAIPs pada tahun 1920 adalah bersesuaian.
Justeru 1 Mac setiap tahun dipilih sebagai Hari Pengasasan MAIPs sebagai wadah kesyukuran dan muhasabah sempena tertubuhnya dewan diraja yang membantu DYMM Tuanku Raja Perlis melaksanakan tugas-tugas baginda sebagai Ketua Agama Islam dan Ketua Adat Istiadat Melayu bagi Negeri Perlis.
Demikian menurut kenyataan MAIPs, dikongsikan oleh Timbalan Yang DiPertua MAIPs, Dr Hazman Hassan kepada Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail sempena Simbolik Peringatan Hari Pengasasan MAIPs Yang Ke-106 yang diadakan di Galeri DiRaja Arau pada malam semalam.
Hadir sama ialah Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor. – JM
Aplikasi MyHRMIS Mobile: Galeri Aplikasi Mudah Alih Kerajaan Malaysia