MAIPs lakar sejarah pembukaan Kapsul DiRaja MAIPs 2025 disempurna Raja Perlis

MAIPs lakar sejarah pembukaan Kapsul DiRaja MAIPs 2025 disempurna Raja Perlis

Oleh: Sholina Osman
Foto: MAIPs
20 APRIL 2026

Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) melakar sejarah penting menerusi pembukaan Kapsul DiRaja MAIPs 2025, sebuah simbol perancangan strategik yang dizahirkan untuk memperkukuh pembangunan ummah di negeri ini.

Pembukaan berkenaan telah disempurnakan oleh Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail pada Majlis Perasmian Masjid Al-Kauthar, Paya, bersempena Penutupan Sambutan Jubli Perak Pemerintahan Baginda dan Sambutan Ulang Tahun Keputeraan Baginda yang ke-83. baru-baru ini.

Demikian menurut kenyataan MAIPs.

Berangkat mengiringi Baginda, Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, yang juga Yang DiPertua MAIPs bersama-sama Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

ASPIRASI MASA DEPAN

Kapsul yang menyimpan aspirasi masa depan ini pada asalnya telah dimeterai oleh Tuanku Raja pada tanggal 17 Julai 2020 di Istana Arau sempena Istiadat Pelancaran Sambutan 1 Kurun MAIPs.

Kini, selaras dengan Watikah DiRaja yang terkandung di dalamnya, MAIPs berjaya membuktikan keberhasilan dalam merealisasikan sepuluh hasrat utama yang merangkumi aspek intelektual, infrastruktur, dan kebajikan sosial bagi memacu transformasi negeri Perlis menjelang tahun 2025.

Antara pencapaian paling signifikan adalah keberhasilan untuk menjadikan Perlis muncul sebagai kiblat ilmu dan rujukan umat Islam yang bersifat moderat dan terbuka.

MEMARTABATKAN TRADISI ILMU

Melalui penganjuran program berimpak tinggi seperti Perlis International Sunnah Convention, Perkampungan Sunnah, dan Majlis Ilmuan Nusantara, negeri ini telah berjaya memartabatkan tradisi ilmu yang tertib namun sentiasa mendepani masa.

Selain itu, MAIPs turut menubuhkan Faizuddin Centre of Educational Excellence (FCoEE) bagi mempertingkatkan kecemerlangan pendidikan di Negeri Perlis.

Hasrat ini turut diperkukuhkan dengan pengamalan prinsip “Titah 7 Amanat” oleh segenap lapisan masyarakat melalui sinergi MAIPs bersama agensi-agensi agama seperti Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs), Jabatan Mufti Negeri Perlis (JMNPs), Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Perlis (JKSNPs), dan Jabatan Pendakwaan Syariah Negeri Perlis (JPSyNPs).

Dari sudut pembangunan prasarana, hasrat Baginda untuk mewujudkan pusat pentadbiran Islam yang komprehensif telah dicapai menerusi pembinaan Kompleks MAIPs yang akan siap pada tahun ini serta naiktaraf mercu tanda agama seperti Masjid Alwi Kangar, Kompleks Islam Perlis dan Kompleks Darul Qadak Tuanku Syed Sirajuddin.

PENUBUHAN KAMPUS TETAP

Sektor pendidikan negeri turut diperkasakan dengan penubuhan Kampus Tetap Universiti Islam Antarabangsa Tuanku Syed Sirajuddin (UniSIRAJ) di Pauh Putra yang kini menjadi kebanggaan rakyat Perlis.

Dalam aspek pemerkasaan ekonomi dan sosial pula, MAIPs telah memperkenalkan ATAM-MAIPs Business Centre (ABC) yang diterajui Akademi Transformasi Asnaf MAIPs (ATAM) bagi melahirkan usahawan Muslim yang berdaya saing, selain memantapkan pelaksanaan Pelan Tindakan Agihan Holistik Asnaf 2.0 dan pemerkasaan inisiatif ATAM 2.0.

Selain itu, keprihatinan terhadap keperluan pendidikan khas turut dizahirkan melalui penubuhan Pusat Autism Negeri Perlis di Sekolah Kebangsaan (SK) Panggau dengan kerjasama Kementerian Pendidikan (KPM) yang sedang dalam perancangan pembangunan oleh Kerajaan Pusat.

MEMPERKEMAS PELAKSANAAN AGENDA

Melengkapi visi tersebut, MAIPs juga berjaya dan sedang memperkemaskan pelaksanaan agenda Transformasi Digital secara menyeluruh dan meneruskan kelestarian komuniti melalui Program Transformasi Kampung Nelayan Warna-warni Seberang Ramai Kuala Perlis secara berfasa.

Kejayaan merealisasikan intipati Kapsul DiRaja 2025 ini bukan sahaja mencerminkan kecemerlangan tadbir urus MAIPs, malah menjadi hadiah bermakna sempena sambutan Jubli Perak pemerintahan Raja Perlis dalam memastikan kesejahteraan rakyat terus terpelihara.

MAIPs turut merakamkan setinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak yang sentiasa mendokong pelaksanaan pelbagai inisiatifnya, termasuk para penyumbang yang budiman, para pemikir, Ahli Jawatankuasa di semua peringkat, pihak Agensi Kerajaan dan Swasta termasuk entiti bukan kerajaan dan orang perseorangan. – JM

Kongsi ke Media Sosial:

Paling Terkini

Semak Agihan

Semak Kutipan

Mohon

Bayar

Skip to content
This site is registered on wpml.org as a development site. Switch to a production site key to remove this banner.