SIMPANG AMPAT, 2 April 2026 — Kejayaan sesebuah institusi bukan sahaja bergantung kepada dasar dan perancangan yang baik, tetapi turut dipacu oleh komitmen, keikhlasan serta integriti setiap individu dalam melaksanakan amanah dengan penuh tanggungjawab.
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, setiap pihak tanpa mengira peranan perlu mengekalkan semangat kerjasama, profesionalisme dan ketulusan dalam menguruskan tugas masing-masing.
“Segala usaha yang dirancang mestilah memberi manfaat yang nyata kepada masyarakat, khususnya dalam memperkukuh kesejahteraan umat serta memastikan organisasi terus dihormati dan diyakini,” titah Baginda.
Baginda bertitah demikian selepas berkenan berangkat mengetuai Program MAIPs Peduli di sekitar Sungai Baru, di sini, baru-baru ini.
Mengiringi Baginda ialah Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Haji Mohd Nazim Mohd Noor.
Dalam pada itu, Baginda turut mendoakan agar setiap usaha yang dilaksanakan di bawah naungan MAIPs menjadi amal soleh yang memberi manfaat di dunia serta menjadi pemberat timbangan di akhirat.
Program kayuhan MAIPs Peduli terus diperkasa sebagai medium mendekati dan menyantuni golongan memerlukan di seluruh negeri ini.
Inisiatif tersebut menggabungkan elemen gaya hidup sihat melalui aktiviti berbasikal dengan misi dakwah dan kebajikan yang dilaksanakan secara langsung di lapangan.
Sempena program itu, Tuanku Syed Faizuddin Putra selaku Yang Dipertua MAIPs turut berkenan menyampaikan sumbangan merangkumi bantuan tunai RM700, kit MAIPs Peduli serta beras fidyah kepada penerima terpilih.
Antara yang disantuni ialah Padzilah Aziz, 75, dari Kampung Sungai Baru Tengah; Radziah Latif, 83; serta Munirah Kerya, 46, masing-masing dari Kampung Simpang Empat.
Aplikasi MyHRMIS Mobile: Galeri Aplikasi Mudah Alih Kerajaan Malaysia