MAIPs Peduli Perkasa Kesedaran Alam Sekitar, Santuni Asnaf Di Simpang Empat

MAIPs Peduli Perkasa Kesedaran Alam Sekitar, Santuni Asnaf Di Simpang Empat1

SIMPANG EMPAT, 24 Mei – Pendidikan dan kesedaran masyarakat khususnya dalam kalangan generasi muda perlu terus diperkasakan supaya mereka menjadi pewaris yang berilmu, bertanggungjawab serta memiliki kesedaran tinggi dalam menjaga dan mempertahankan khazanah alam negara daripada terus terancam.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, penglibatan agensi negeri dan Persekutuan, sektor swasta, institusi pendidikan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta komuniti setempat menjadi kekuatan utama dalam menjayakan agenda kelestarian alam sekitar.

Menurut baginda, semangat kolaboratif tersebut perlu terus diperkasa agar setiap inisiatif yang dilaksanakan mampu memberi impak lebih menyeluruh, mampan dan berkesan kepada masyarakat serta alam sekitar.

“Dalam mendepani cabaran perubahan iklim yang semakin membimbangkan, setiap usaha yang dilakukan walaupun kecil akan tetap membawa impak besar kepada masa depan alam sekitar.

“Justeru, kesedaran dan tanggungjawab dalam memelihara alam sekitar perlu terus dipupuk serta diamalkan secara konsisten dalam kehidupan seharian masing-masing,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian selepas berkenan berangkat mengetuai Program MAIPs Peduli anjuran Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis yang berlangsung di sekitar Simpang Empat baru-baru ini.

Dalam program tersebut, baginda turut berkenan menyantuni dan menyerahkan sumbangan agihan zakat MAIPs kepada tiga penerima asnaf iaitu Termizi Hamid, 64, dari Kampung Batas Lintang, Md Nasir Salleh, 70, dari Kampung Datuk Ahmad Musa serta Zauyah Harun, 77, dari Kampung Bunga Emas Timur.

Program MAIPs Peduli bukan sahaja meringankan beban golongan memerlukan, malah menjadi pemangkin utama dalam meningkatkan taraf hidup asnaf di negeri ini.

Inisiatif itu sekali gus membuktikan komitmen berterusan institusi agama dalam membina komuniti yang sejahtera, inklusif dan berdaya tahan demi kesejahteraan ummah serta kelestarian masa depan.

Kongsi ke Media Sosial:

Paling Terkini

Semak Agihan

Semak Kutipan

Mohon

Bayar

Skip to content
This site is registered on wpml.org as a development site. Switch to a production site key to remove this banner.