KANGAR: Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) mengorak langkah strategik memperkukuh jaringan antarabangsa apabila menjalin hubungan bersama Rwanda Muslim Community (RMC) melalui sesi libat urus bersejarah di Kigali, ibu negara Rwanda.
Sesi berkenaan diketuai oleh Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang mengetuai delegasi MAIPs ke Rwanda.
Libat urus tersebut memberi tumpuan kepada usaha memperkukuhkan kerjasama dalam bidang pendidikan Islam terutama melalui pertukaran pengalaman dan kepakaran dalam pembangunan institusi pendidikan Islam yang progresif dan inklusif.
Turut dibincangkan ialah pelaksanaan program pengajian tinggi dan kursus dalam talian secara bersama dengan Universiti Islam Antarabangsa Tuanku Syed Sirajuddin (UniSIRAJ) yang bernaung sepenuhnya di bawah MAIPs.
Perbincangan tersebut turut membuka ruang kepada penerokaan lebih meluas dalam aspek modul pendidikan Islam Malaysia, jaringan kerjasama sarjana serta pertukaran akademik antara kedua-dua negara.
RMC juga menyuarakan komitmen dan harapan agar kerjasama itu dapat menjadi pemangkin ke arah mempertingkatkan tahap pendidikan Islam di Rwanda agar setara dengan pembangunan negara berkenaan yang semakin pesat.
Terdahulu, keberangkatan baginda disambut oleh Mufti Besar Rwanda, Sheikh Musa Sindayigaya yang mengetuai RMC iaitu sebuah pertubuhan Islam yang diiktiraf kerajaan Rwanda sejak 1964 sebagai suara rasmi umat Islam di negara itu.
Tuanku Syed Faizuddin turut diiringi Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil serta anakanda baginda berdua, Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail.
Delegasi tersebut turut disertai Mufti Perlis, Datuk Dr. Mohd Asri Zainul Abidin, dan Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor.
Sesi libat urus itu diakhiri dengan majlis penyerahan surat hasrat kerjasama antara Mohd Nazim dan Sheikh Musa mewakili RMC yang disaksikan baginda sebagai simbol permulaan hubungan rasmi dan hala tuju strategik antara kedua-dua institusi.
Mohd. Asri berkata, kerjasama tersebut akan memberi impak besar terhadap usaha memperkasa pendidikan Islam serta mewujudkan jaringan ummah yang lebih kukuh.
“Adalah menjadi harapan MAIPs agar hasrat kerjasama ini dapat diterjemah dalam bentuk tindakan berimpak tinggi pada masa akan datang melalui pelaksanaan pelbagai inisiatif seperti pelaksanaan program bersama antara para sarjana Islam di benua Afrika bersama jaringan MAIPs di nusantara.
“Ia demi memartabatkan pendidikan Islam dan mengukuhkan lagi semangat ukhuwah Islamiah antara dua negara bersaudara ini,” katanya.-UTUSAN