ARAU, 29 Mac – Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) terus memperkukuh kedudukannya sebagai institusi agama yang berwibawa serta komited dalam melaksanakan mandat pengurusan zakat, pembangunan dan kebajikan sosial ummah.
Menurut kenyataan MAIPs yang dititahkan oleh Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, pelbagai usaha dan sumbangsaran konstruktif yang digembleng selama ini amat dihargai dalam memastikan peranan institusi itu terus diperkasa.
Baginda bertitah, peningkatan hasil kutipan zakat MAIPs melalui kepelbagaian pendekatan serta perluasan rangkaian kerjasama telah memberi impak yang ketara kepada institusi berkenaan.
Pada masa sama, baginda menegaskan penyaluran bantuan kepada golongan asnaf kini dilihat semakin berfokus, tersusun dan pantas selaras dengan aspirasi MAIPs untuk memastikan tiada asnaf di negeri ini tercicir atau terlepas pandang.
Titah baginda itu dizahirkan sempena Program Hijrah Minda MAIPs yang diadakan di Masjid Al-Ikram Kampung Sena, Kurung Anai, Arau, baru-baru ini.
Keberangkatan tiba baginda disambut oleh Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Haji Mohd Nazim Mohd Noor.
Tuanku Syed Faizuddin Putra yang juga Yang Dipertua MAIPs turut menegaskan bahawa segala pencapaian yang diraih setakat ini tidak mungkin dapat dicapai tanpa kesepaduan semua pihak, justeru momentum yang telah dibina hendaklah terus diperkukuh dari semasa ke semasa.
Program Hijrah Minda merupakan antara inisiatif utama MAIPs yang bertujuan mentransformasikan pemikiran serta memperkasa sosioekonomi masyarakat, khususnya dalam kalangan golongan asnaf di Perlis.
Sempena program itu, baginda turut berkenan menyempurnakan penyampaian sumbangan berjumlah RM120,000 kepada Teratak Rahmat dan Persatuan Al-Islah Negeri Perlis.
Selain itu, Agihan Zakat MAIPs sebanyak RM21,000 turut disampaikan kepada 30 asnaf terpilih yang terdiri daripada anak kariah Kampung Sena.
Foto: MAIPs
Aplikasi MyHRMIS Mobile: Galeri Aplikasi Mudah Alih Kerajaan Malaysia