KANGAR, 8 Nov – Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) perlu berani menerajui perubahan melalui pemodenan sistem pengurusan, penggunaan teknologi dan data serta peningkatan kecekapan penyampaian perkhidmatan tanpa mengabaikan prinsip Islam, integriti dan amanah.
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, MAIPs tidak seharusnya hanya menjadi sebuah institusi yang cekap mengurus, sebaliknya perlu sentiasa bersedia melakukan pembaharuan bagi memenuhi keperluan masyarakat yang semakin berkembang.
Baginda bertitah, usaha transformasi institusi itu perlu merangkumi pemodenan proses kerja, pengukuhan keupayaan warga kerja serta penyampaian perkhidmatan yang lebih pantas, mudah dan berkesan.
Bagaimanapun, titah baginda, setiap perubahan yang dilaksanakan tidak boleh mengetepikan nilai dan prinsip yang menjadi asas penubuhan institusi agama berkenaan. FalsafahPemikiran
“Perubahan bukan bermaksud kita meninggalkan sepenuhnya prinsip dan nilai yang menjadi asas institusi ini.
“Sebaliknya, kita berubah pada pendekatan, tetapi kekal teguh pada prinsip. Nilai Islam, integriti dan amanah hendaklah terus menjadi kompas dalam setiap pembaharuan yang dilaksanakan,” titah baginda. FalsafahPemikiran
Tuanku Syed Faizuddin Putra bertitah demikian sempena Program Hijrah Minda anjuran MAIPs yang berlangsung di Masjid Al-Mustaqim, Seriab, dekat sini, baru-baru ini.
Program berkenaan turut menjadi platform untuk menggalakkan masyarakat menghayati nilai Islam dalam kehidupan seharian, selain memperkukuh semangat kebersamaan dan keprihatinan terhadap golongan yang memerlukan.
Dalam pada itu, baginda turut berkenan menyempurnakan penyampaian agihan zakat MAIPs berjumlah RM21,000 kepada 30 asnaf terpilih dalam kalangan anak kariah Seriab.
Setiap penerima menerima bantuan wang tunai sebanyak RM700 bagi membantu meringankan beban kewangan dan memenuhi keperluan harian mereka.
Agihan berkenaan mencerminkan komitmen berterusan MAIPs dalam memastikan dana zakat disalurkan kepada golongan yang layak, sekali gus meningkatkan kesejahteraan masyarakat setempat.
Program Hijrah Minda itu turut memperlihatkan pendekatan MAIPs yang menggabungkan pembangunan kerohanian, pemerkasaan institusi dan kebajikan masyarakat sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh peranannya dalam pembangunan sosioekonomi umat Islam di Perlis.