KANGAR, 13 Feb — Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) perlu terus memikul amanah sebagai institusi agama utama negeri ini dengan mengekalkan tahap ketelusan, integriti serta tanggungjawab yang tinggi, titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.
Baginda bertitah, dalam mendepani cabaran semasa yang semakin kompleks, segala pendekatan dan tindakan yang dilaksanakan hendaklah sentiasa diperbaharui supaya selari dengan keperluan semasa.
Menurut baginda, kesinambungan amanah tidak bermaksud MAIPs sekadar mengekalkan pendekatan sedia ada tanpa penilaian lanjut, sebaliknya menuntut usaha berterusan untuk memperkukuhkan asas yang betul, menambah baik kelemahan serta berani melakukan penyesuaian yang wajar demi kepentingan bangsa dan ummah.
“Pembaharuan dalam tindakan ini perlulah bersifat praktikal, berfokus dan memberi impak tinggi,” titah baginda.
Baginda bertitah demikian ketika berkenan mempengerusikan Persidangan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis Yang Pertama bagi Tahun 2026 yang diadakan di Bilik Mesyuarat baharu Jabatan Pendidikan Negeri Perlis di sini baru-baru ini.
Terdahulu, turut berlangsung simbolik penyerahan Laporan Awal Kajian Penerapan Elemen Pembangunan Pelan Masyarakat Perlis Baharu.
Aplikasi MyHRMIS Mobile: Galeri Aplikasi Mudah Alih Kerajaan Malaysia