MAIPs Peruntuk Lebih RM6 Juta Bantuan Fitrah, 12,112 Asnaf Terima Manfaat

MAIPs Peruntuk Lebih RM6 Juta Bantuan Fitrah, 12,112 Asnaf Terima Manfaat1

Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) memperuntukkan Sumbangan Bantuan Fitrah bagi tahun 2026 berjumlah RM6,056,000 bagi meringankan beban penerima, khususnya dalam membuat persediaan menyambut Ramadan dan Aidilfitri.

Seramai 12,112 golongan asnaf fakir miskin bakal menerima sumbangan tersebut secara berperingkat, yang dijangka membantu mereka mendapatkan barangan makanan dan keperluan asas sepanjang bulan Ramadan.

Simbolik pelancaran bantuan itu disempurnakan oleh Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail sempena Majlis Iftar Jamaie melibatkan Ahli Majlis dan Ahli Jawatankuasa MAIPs yang berlangsung di Kuala Lumpur malam tadi.

Turut berangkat, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil serta anakanda-anakanda puteri, Hajah Sharifah Khatreena Nuraniah Jamalullail dan Hajah Sharifah Farah Adriana Jamalullail.

Keberangkatan tiba Baginda disambut oleh Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor.

Dalam titahnya, Tuanku Syed Faizuddin Putra menekankan kepentingan setiap jawatankuasa MAIPs memainkan peranan saling melengkapi dalam memperkukuh serta mempertingkatkan ekosistem tadbir urus Islam di negeri Perlis ke tahap lebih cemerlang dan berdaya saing.

Baginda turut menegaskan bahawa usaha memperkasa pengurusan zakat dan wakaf secara lebih berimpak, memperluas pembangunan pendidikan serta latihan asnaf secara mampan, selain memodenkan sistem penyampaian perkhidmatan melalui pendigitalan, akan memberi kesan langsung terhadap peningkatan taraf hidup golongan asnaf.

Menurut Baginda, inisiatif-inisiatif tersebut diyakini mampu mempercepatkan usaha pembasmian kemiskinan sepenuhnya di negeri Perlis dalam tempoh yang lebih singkat.

“Pengukuhan institusi pendidikan dan kebajikan Islam membuktikan kesungguhan MAIPs untuk terus bergerak seiring dengan tuntutan semasa tanpa mengabaikan prinsip syariah serta nilai-nilai tradisi yang menjadi teras kekuatan institusi Islam di negeri ini,” titah Baginda lagi.

Selaku Tuanku Yang Dipertua MAIPs, Baginda turut berkenan menyempurnakan Sesi Kurniaan Tauliah dan penyampaian Perutusan Lantikan Ahli Jawatankuasa (AJK) di bawah MAIPs bagi sesi 2026-2027.

Terdahulu, Mohd Nazim membentangkan pencapaian MAIPs sepanjang 2025 serta Pelan Strategik Bersasar MAIPs untuk tempoh lima tahun akan datang.

Foto: Ihsan MAIPs.

Kongsi ke Media Sosial:

Paling Terkini

Semak Agihan

Semak Kutipan

Mohon

Bayar

Skip to content
This site is registered on wpml.org as a development site. Switch to a production site key to remove this banner.