KANGAR, 17 Mac 2026 — Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) memperuntukkan sebanyak RM3.06 juta bagi pelaksanaan Bantuan Mikro Baik Pulih Kediaman yang akan diagihkan melalui kariah-kariah masjid di seluruh negeri ini sepanjang tahun 2026.
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selaku Tuanku Yang Dipertua MAIPs berkenan berangkat menyaksikan simbolik penyerahan bantuan tersebut dalam satu majlis yang berlangsung di Masjid Alwi, Kangar.
Turut berangkat, anakanda-anakanda Baginda, Hajah Sharifah Khatreena Nuraniah Jamalullail dan Hajah Sharifah Farah Adriana Jamalullail.
Hadir sama ialah Mufti Negeri Perlis, Sohibus Samahah Datuk Arif Perkasa Dr. Mohd Asri Zainul Abidin, serta Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Haji Mohd Nazim Mohd Noor.
Inisiatif Bantuan Mikro Baik Pulih Kediaman itu merupakan antara usaha berterusan MAIPs dalam membantu golongan asnaf dan mereka yang memerlukan agar dapat mendiami kediaman yang lebih selamat, selesa dan kondusif untuk kehidupan seharian.
Menerusi pelaksanaan program berkenaan, kariah-kariah masjid di seluruh Perlis akan memainkan peranan penting dalam mengenal pasti penerima yang benar-benar layak, sekali gus memastikan bantuan dapat disalurkan secara lebih tersusun, telus dan berkesan kepada golongan sasar.
Usaha itu turut mencerminkan komitmen berterusan MAIPs dalam memperkukuh fungsi institusi masjid bukan sahaja sebagai pusat ibadah, malah sebagai pusat kebajikan dan kesejahteraan ummah yang sentiasa peka terhadap keperluan masyarakat setempat.
Inisiatif berkenaan diharap bukan sahaja dapat meringankan beban penerima, malah menjadi manifestasi keprihatinan MAIPs dalam memastikan setiap lapisan masyarakat, khususnya golongan kurang berkemampuan, dapat menikmati kehidupan yang lebih sejahtera dan bermaruah.
Aplikasi MyHRMIS Mobile: Galeri Aplikasi Mudah Alih Kerajaan Malaysia