Oleh: Sholina Osman
12 MAC 2026
Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) memperuntukkan sebanyak RM722,670 bagi menyokong pengoperasian serta pelaksanaan pelbagai aktiviti Tadika Islam Perlis.
Sumbangan tersebut disempurnakan penyerahannya oleh Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selaku Tuanku Yang Dipertua MAIPs dalam satu sesi khas penyerahan kepada Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs), Maizura Shamsuddin yang berlangsung di Masjid Tuanku Syed Putra Jamalullail (MTSPJ), Kangar.
Keberangkatan tiba Baginda diiringi oleh Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil, serta anakanda puteri kedua Baginda berdua, Hajah Sharifah Farah Adriana Jamalullail.
Turut hadir ialah Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor.
SEMUA PENYUMBANG ZAKAT
Dalam ucapannya, Mohd Nazim merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua penyumbang zakat melalui MAIPs yang sentiasa bermurah hati dalam menyokong pelbagai inisiatif kebajikan yang dilaksanakan oleh institusi tersebut.
Menurut beliau, sokongan berterusan daripada para penyumbang zakat telah membolehkan MAIPs memperluas pelbagai program pembangunan sosial dan pendidikan demi kesejahteraan masyarakat Islam di negeri ini, khususnya dalam usaha melahirkan “Jailul Faizin” atau “Generasi Berjaya”.
“MAIPs amat berterima kasih kepada para penyumbang dan menyeru seluruh masyarakat agar terus melipatgandakan amalan kebajikan, lebih-lebih lagi dalam bulan Ramadan yang penuh keberkatan ini, dengan mencontohi sunnah Rasulullah SAW yang mempertingkatkan sifat pemurah dan bersedekah sepanjang bulan mulia tersebut,” tambah beliau lagi. – JM
Aplikasi MyHRMIS Mobile: Galeri Aplikasi Mudah Alih Kerajaan Malaysia