MAIPs-PTPTN laksana Program PEKA SSPN mulai 1 April 2025

Oleh: Sholina Osman
29 APRIL 2025

Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), dengan kerjasama Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), melaksanakan Program Permata Kasih (PEKA) Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) bermula 1 April 2025.

Menerusi program ini, MAIPs menyumbang sebanyak RM400,000 bagi membuka akaun Simpan SSPN Prime untuk 2,000 anak asnaf yang baru lahir di Negeri Perlis.

Melalui kerjasama dengan pihak Hospital Tuanku Fauziah (HTF) Kangar, penerima yang layak akan dikenalpasti dan bakal menerima RM200 dalam bentuk simpanan sebagai dorongan awal untuk masa depan pendidikan mereka.

BAGI KELAHIRAN BAHARU

Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail, berkenan berangkat menyempurnakan Majlis Peluncuran Program Permata Kasih (PEKA) Simpan SSPN Bagi Kelahiran Baharu Anak Asnaf Negeri Perlis di Kangar.

Berkenan berangkat Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang juga merangkap Yang DiPertua MAIPs.

Keberangkatan tiba Duli-Duli Tuanku disambut oleh Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid dan Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor.

USAHA BERTERUSAN MAIPs

Raja Perlis menzahirkan penghargaan terhadap usaha berterusan MAIPs yang sentiasa melaksanakan program berimpak tinggi dalam membangunkan golongan asnaf.

Baginda bertitah bahawa MAIPs bukan sahaja berperanan sebagai pentadbir hal ehwal agama Islam, malah turut berfungsi sebagai pemangkin pembangunan komuniti Islam, khususnya dalam membantu golongan asnaf keluar daripada kitaran kemiskinan.

Tuanku Syed Sirajuddin turut menzahirkan tahniah dan syabas atas pelaksanaan insentif kelahiran ini yang membuktikan keprihatinan MAIPs dan PTPTN dalam memastikan anak-anak asnaf mempunyai tabungan pendidikan serta melahirkan generasi celik kewangan.

INI DIMANFAATKAN SEBAIKNYA

Baginda bertitah, “Besar harapan saya agar insentif kelahiran ini dimanfaatkan sebaiknya oleh ibu bapa untuk memulakan penabungan secara konsisten, seterusnya menyediakan perancangan kewangan yang baik untuk pendidikan tinggi anak-anak. Akaun Simpan SSPN Prime menawarkan pelbagai keistimewaan dan manfaat kepada pendeposit.”

Majlis anjuran bersama MAIPs dan PTPTN ini bertujuan memperkenalkan inisiatif tabungan pendidikan khusus untuk anak-anak asnaf yang baru dilahirkan di negeri ini, melalui pembukaan akaun Simpan SSPN Prime.

Program ini merupakan langkah murni untuk memastikan masa depan pendidikan anak-anak asnaf lebih terjamin sejak awal kelahiran.

ADALAH ANAK ASNAF

Syarat kelayakan bagi insentif ini adalah anak asnaf kelahiran baharu di negeri Perlis, warganegara Malaysia dan beragama Islam.

Senarai penerima akan diuruskan oleh pihak MAIPs dengan kerjasama agensi-agensi berkaitan di negeri Perlis.

Pada majlis tersebut, Tuanku Syed Sirajuddin turut berkenan menyempurnakan simbolik perasmian serta menyaksikan penyampaian cek cura oleh Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs kepada Ketua Eksekutif PTPTN.

Majlis turut diserikan dengan penyerahan kad cura kepada lima keluarga terpilih yang menerima sumbangan sebagai simbolik penghargaan. – JM

Kongsi ke Media Sosial:

Paling Terkini

Semak Agihan

Semak Kutipan

Mohon

Bayar

Skip to content