ARAU 18 Mac – Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) memperuntukkan lebih RM275,800 bagi pelaksanaan Bantuan Khas MAIPs Aidilfitri (BKMA) kepada guru-guru sekolah agama di negeri ini sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun 2026.
Peruntukan tersebut melibatkan tiga kategori penerima iaitu guru Sekolah Agama Rakyat (SAR), guru sekolah rendah, serta guru sekolah menengah.
Daripada jumlah keseluruhan itu, sebanyak RM137,900 diperuntukkan kepada guru SAR, RM47,400 kepada guru sekolah rendah, dan RM90,000 kepada guru sekolah menengah.
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selaku Tuanku Yang DiPertua MAIPs berkenan berangkat menyempurnakan penyampaian sumbangan tersebut dalam satu majlis yang berlangsung di Masjid Al-Mursyid, Pekan Pauh Guring, Arau.
Turut hadir sama ialah Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Haji Mohd Nazim Mohd Noor serta Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs), Maizura Shamsuddin.
Sumbangan ini merupakan salah satu inisiatif MAIPs dalam menghargai jasa dan pengorbanan para guru agama yang memainkan peranan penting dalam membentuk sahsiah serta memperkukuh pendidikan Islam dalam kalangan masyarakat, khususnya generasi muda di negeri Perlis.
Selain itu, bantuan ini diharapkan dapat meringankan beban kewangan para guru dalam membuat persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri.
MAIPs komited untuk terus memperkasakan kebajikan golongan pendidik agama serta memperluas agenda pembangunan ummah secara menyeluruh. Usaha berterusan ini mencerminkan keprihatinan institusi agama dalam memastikan kesejahteraan masyarakat sentiasa terpelihara, selaras dengan aspirasi untuk melahirkan ummah yang sejahtera, berilmu dan berakhlak mulia.
Aplikasi MyHRMIS Mobile: Galeri Aplikasi Mudah Alih Kerajaan Malaysia