KANGAR, 2 Jun – Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) mengagihkan RM200,000 bawah Bantuan Bencana kepada 141 mangsa ribut di Perlis.
Bantuan disalurkan secara berfasa kepada semua penerima dengan setiap daripada mereka menerima bantuan antara RM400 hingga RM5,000.
Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor berkata jumlah bantuan berdasarkan kerosakan yang ditanggung setiap mangsa melibatkan bumbung yang diterbangkan angin atau struktur rumah.
“Dalam penyaluran bantuan, MAIPs turut bekerjasama dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi menyelaras semua yang diperlukan penduduk terlibat,” katanya kepada RTM.
Beliau ditemui pada Majlis Penyampaian Bantuan Ribut kepada 60 mangsa di Masjid Al-A’la Behor Temak, di sini hari ini.
Penyampaian sumbangan disempurnakan Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail merangkap Tuanku Yang Dipertua MAIPs.
Dalam pada itu, Mohd Nazim berkata JKM turut menyalurkan bantuan tambahan selain yang telah disalurkan MAIPs sekiranya jumlah kerosakan melebihi had ditetapkan bagi setiap penerima.
Tarikh kemaskini: 4/16/2025