Kuala Lumpur – Selaras dengan hasrat membina generasi akan datang yang lebih berdaya saing dan berpegang teguh kepada nilai agama dan budaya, Majlis Agama Islsm dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) menyalurkan Sumbangan Peruntukan bagi Pelaksanaan Sekolah Integrasi Perlis (SIPs) berjumlah RM3,921,502 melalui Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs).
Peruntukan tersebut merupakan sebahagian daripada usaha MAIPs untuk memastikan sistem pendidikan di Perlis terus berkembang seiring dengan keperluan semasa, serta membentuk pelajar yang kukuh dari segi akademik dan sahsiah.
Simbolik penyerahan sumbangan tersebut disempurnakan oleh Raja Muda Perlis, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail sempena Mesyuarat Jawatankuasa Adat Istiadat Melayu Perlis Bilangan Pertama Bagi Tahun 2025 yang berlangsung di ibu negara, pada Sabtu.
“Dalam sesi tersebut, Tuanku Raja Muda menitahsarankan supaya dalam usaha memperkukuh adat istiadat, penting untuk diperbanyak program kesedaran dan pendidikan yang lebih menyeluruh dan berimpak.
“Penganjuran seminar, bengkel dan dialog bersama-sama generasi muda perlu digiatkan agar mereka terus memahami dan menghayati kepentingan adat dalam kehidupan seharian,” kata MAIPs dalam satu kenyataan.
Pada masa yang sama, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra menekankan keperluan memperkasakan penyelidikan dan dokumentasi Adat Istiadat Melayu Perlis.
Usaha ini bukan sahaja untuk memastikan warisan ini tidak pupus ditelan zaman, malah dapat menjadi rujukan yang sahih bagi generasi akan datang dalam usaha memahami asal usul dan keunikan budaya yang diwarisi.
Baginda turut berharap agar MAIPs dan seluruh agensi bersamanya terus bersemangat, bermotivasi serta memperkukuh kerjasama strategik bagi melaksanakan program yang dapat menarik minat golongan muda untuk memahami dan menghayati adat istiadat Melayu.
Kredit Foto: Ihsan MAIPs