KANGAR, 30 Jun – Seramai lebih 1,500 pelajar dalam kalangan asnaf di Perlis menyertai program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang ditaja Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) melalui Akademi Transformasi Asnaf MAIPs Sdn Bhd (ATAM).
Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor berkata, program itu dilaksanakan dengan kerjasama 23 syarikat seluruh negara dan berjaya menempatkan peserta dalam sektor pekerjaan tempatan serta luar negara.
“Program ini bertujuan memperkasa ekonomi asnaf melalui latihan kemahiran dan penempatan kerja selaras dengan matlamat pendidikan berkualiti dan pekerjaan yang layak,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Setiap peserta menerima tajaan RM29,500 meliputi yuran latihan, penginapan, keperluan asas dan elaun sepanjang kursus selama 16 minggu sebelum ditawarkan kerja.
Program tersebut juga menjunjung titah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selaku Tuanku Yang Dipertua MAIPs agar TVET dijadikan jalan keluar daripada kemiskinan secara jangka panjang.
Majlis pelepasan 20 pelajar baharu ke The Welding Institute (TWI), Shah Alam bagi program “Zero to Hero” berlangsung di Dewan Kuliyyah MAIPs, Behor Temak.