BESERI, 26 Mei – Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah bahawa kekuatan sebenar negeri kecil seperti Perlis tidak bergantung kepada keluasan tanah atau kekayaan sumber semula jadi, sebaliknya terletak pada kredibiliti yang dibina secara konsisten melalui pentadbiran yang telus, stabil dan berintegriti.
Baginda bertitah, apabila dasar pentadbiran sentiasa mudah diramal dan janji ditepati, ia akan mewujudkan keyakinan dalam kalangan rakyat serta pelabur untuk merancang masa depan mereka di negeri ini.
“Bagi negeri seperti Perlis, pengaruh dan kekuatan sebenar tidak datang daripada keluasan tanah atau kekayaan sumber semula jadi. Sebaliknya, kuasa acuan ini perlu lahir daripada kredibiliti yang dibina secara sabar melalui sikap konsisten serta janji yang sentiasa ditepati.
“Apabila dasar pentadbiran sentiasa telus dan mudah diramal, pelabur dan rakyat akan berasa selamat untuk merancang masa depan mereka di sini,” titah baginda.
Baginda turut menegaskan bahawa setiap peringkat pentadbiran perlu berfungsi secara adil tanpa berat sebelah bagi mengekalkan kepercayaan tinggi masyarakat terhadap institusi serta sistem penyampaian awam.
Menurut baginda, integriti yang kukuh dalam pentadbiran akan memastikan setiap pelan pembangunan dapat dilaksanakan secara cekap sekali gus menjadikan reputasi bersih sebagai modal strategik penting untuk memacu kemajuan negeri.
Baginda bertitah demikian selepas berkenan berangkat menyempurnakan Program Penyerahan Agihan Zakat Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis di Masjid Jannatul Naim Beseri Sungai Paya, Beseri baru-baru ini.
Turut berangkat ialah Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
Program berkenaan merupakan inisiatif berterusan MAIPs dalam memastikan kebajikan golongan asnaf sentiasa terbela melalui pendekatan turun padang yang menyantuni rakyat secara langsung.
Sempena program tersebut, Tuanku Syed Faizuddin Putra dan Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah berkenan menyampaikan agihan zakat MAIPs berjumlah RM105,000 kepada 150 penerima asnaf terpilih.
Daripada jumlah itu, 75 penerima terdiri daripada anak kariah Kampung Belukar manakala 75 lagi merupakan anak kariah Kampung Beseri Sungai Paya.
Inisiatif itu bukan sahaja membantu meringankan beban golongan memerlukan, malah mencerminkan komitmen berterusan institusi zakat dalam memperkukuh kesejahteraan ummah di negeri ini.
Aplikasi MyHRMIS Mobile: Galeri Aplikasi Mudah Alih Kerajaan Malaysia