KANGAR: Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, ‘Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) memegang amanah yang begitu besar. Ia bukan sekadar mengurus dana zakat dan wakaf, tetapi juga merupakan tonggak utama dalam memperkasa institusi keagamaan, menyalurkan bantuan kepada asnaf, memelihara adat dan warisan, serta membimbing ummah ke arah kehidupan yang lebih bermaruah, berkualiti dan sejahtera’.
Baginda bertitah, asas Keutuhan MAIPs dalam ‘Mendepani Cabaran Ummah’ mengangkat satu hakikat penting bahawa sesebuah institusi tidak akan berdiri teguh hanya dengan struktur, tetapi dengan insan-insan yang ikhlas berkhidmat di dalamnya.
“Kita berhadapan dengan isu kemiskinan yang semakin kompleks, tekanan kos sara hidup, kekeliruan fahaman, dan perubahan sosial yang begitu pantas. Dalam konteks ini, kualiti perkhidmatan dan integriti pegawai menjadi tunjang kepada keberkesanan penyampaian”, titah Baginda lagi.
Demikian titah Tuanku Yang DiPertua MAIPs ketika berkenan berangkat menyempurnakan Majlis Apresiasi Perkhidmatan Terpilih dan Keterampilan Jabatan dan Agensi Bersama MAIPs Tahun 2024 yang berlangsung di perkarangan Kolam Taman Buah-Buahan Eksotik Negeri Perlis di Sungai Batu Pahat dekat Kangar.
Berangkat sama adalah Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
Keberangkatan tiba Baginda disambut oleh Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Haji Mohd Nazim Mohd Noor Ketua Hakim Syarie Negeri Perlis, YAA Haji Jaidi Ahmad dan Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs), Maizura Shamsuddin.
Majlis ini dianjurkan oleh MAIPs dengan kerjasama pelbagai agensi lain sebagai tanda penghargaan terhadap usaha gigih dan kecemerlangan jabatan serta agensi yang telah memberikan sokongan padu dalam merealisasikan pelbagai inisiatif MAIPs sepanjang tahun.
Tuanku Syed Faizuddin Putra berkenan menyempurnakan pengurniaan sijil dan penghargaan kepada para penerima Anugerah Perkhidmatan Terpilih, manakala pengurniaan Anugerah Keterampilan pula disempurnakan oleh Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah.
Tuanku Raja Muda menzahirkan agar majlis apresiasi ini bukan sekadar penghargaan kepada individu, tetapi menjadi pencetus semangat buat seluruh organisasi. Mereka yang diraikan hanyalah simbol kepada tekad bersama untuk memastikan MAIPs dan rakan agensinya terus utuh, diyakini, dan disegani dalam menghadapi cabaran ummah masa kini.
Baginda turut berharap agar prestasi cemerlang, usaha gigih, dan komitmen yang ditunjukkan dapat diteruskan dalam mengekalkan momentum kerja yang berintegriti, bermutu tinggi, berkualiti, produktif serta progresif.