Manfaatkan mesyuarat sebagai medan perbincangan yang produktif – Raja Muda Perlis

Oleh: Sholina Osman
13 OGOS 2025

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, menyeru agar setiap mesyuarat yang diadakan di negeri Perlis, sama ada di peringkat negeri, jabatan atau agensi kerajaan, badan swasta, organisasi, komuniti setempat mahupun kariah masjid dan rumah-rumah ibadat dapat dimanfaatkan sepenuhnya sebagai medan perbincangan yang produktif, berfokus dan berimpak tinggi.

Baginda menegaskan, setiap menjadi platform strategik untuk percambahan idea, dikaji serta diambil tindakan dengan pantas untuk menggubal pelan tindakan yang lebih holistik, merangkumi pelbagai aspek pembangunan, dengan tujuan memperkasa negeri serta mengangkat martabat umat di Perlis ke tahap yang lebih tinggi dan membanggakan.

“Mesyuarat bukan sekadar memenuhi agenda rutin atau keperluan formaliti, tetapi hendaklah menjadi wadah merangka strategi, berkongsi pandangan dan mencari penyelesaian yang berkesan serta mengambil tindakan susulan demi kemajuan bersama,” titah baginda.

MENJADI HARAPAN BAGINDA

Tuanku Raja Muda Perlis bertitah lagi bahawa menjadi harapan baginda agar setiap cadangan, keputusan atau resolusi yang dipersetujui dalam mana-mana mesyuarat atau perbincangan dapat diterjemahkan kepada tindakan nyata di lapangan tanpa bertangguh.

“Keputusan yang baik hanya akan memberi makna sekiranya disusuli dengan pelaksanaan yang berkesan dan memberi manfaat secara langsung kepada rakyat di negeri ini,” tegas baginda.

Titah ini mencerminkan komitmen berterusan baginda untuk melihat Perlis terus bergerak ke hadapan melalui perancangan yang bijaksana, pelaksanaan yang konsisten, dan semangat kerjasama yang padu di semua peringkat.

“Hendaklah sesuatu keputusan itu disegerakan juga tindakannya, agar perkara-perkara yang telah diputuskan itu akan dapat dilaksanakan dengan sebaiknya. Apa guna sesuatu keputusan yang dibuat, namun kekal “kaku di dalam minit mesyuarat?,” tambah Baginda.

PROGRAM HIJRAH MINDA

Demikian titah Tuanku Syed Faizuddin Putra selepas berkenan berangkat menyempurnakan Program Hijrah Minda anjuran Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) yang berlangsung di Masjid Al-Abrar, Kubang Gajah, Arau.

Turut berangkat mengiringi Baginda dan menyampaikan sumbangan adalah anakanda putera Warisnya Yang Kedua Negeri Perlis, Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail.

Sempena program tersebut, Baginda yang juga merangkap Yang DiPertua MAIPs turut berkenan menyempurnakan penyerahan sumbangan agihan zakat MAIPs kepada 225 orang asnaf terpilih, terdiri daripada 75 orang anak kariah Kubang Gajah, 75 orang anak kariah Alor Ara, dan 75 orang anak kariah Banggol Sena.

Setiap penerima menerima sumbangan wang tunai dari MAIPs berjumlah RM700, menjadikan jumlah keseluruhan sumbangan pada edisi kali ini sebanyak RM157,500. – JM

Kongsi ke Media Sosial:

Paling Terkini

Semak Agihan

Semak Kutipan

Mohon

Bayar

Skip to content