KANGAR, 31 Julai 2025 – Muzakarah Islamic Digital Finance (MIDF) 2025 membuka tirai sebagai platform strategik untuk memperkasa landskap kewangan digital patuh Syariah, dengan penyertaan lebih 160 peserta merangkumi sarjana Syariah, ahli akademik, pakar industri dan penggubal dasar.
Bertemakan “Memperkasa Kewangan Digital Patuh Syariah: Inovasi, Etika dan Inklusiviti”, muzakarah ini dianjurkan oleh Universiti Islam Antarabangsa Tuanku Syed Sirajuddin (UniSIRAJ) dengan kerjasama Persatuan Penasihat Syariah dalam Kewangan Islam Malaysia (ASAS) dan Institut Perbankan dan Kewangan Islam, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (IIiBF).
Majlis perasmian disempurnakan oleh Raja Muda Perlis merangkap Canselor UniSIRAJ, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, yang turut berkenan menyaksikan pertukaran dua dokumen kerjasama strategik – iaitu Memorandum Persefahaman (MoU) antara UniSIRAJ dan ASAS, serta Surat Hasrat (LoI) antara UniSIRAJ dan Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin (PTSS).
Turut berangkat, Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
Dalam ucapan aluan, Rektor UniSIRAJ, Prof. Dr. Muhamad Rozaimi Ramle menekankan keperluan membangunkan ekosistem kewangan digital Islam yang berasaskan prinsip Syariah, sambil menegaskan kepentingan inovasi beretika dan amalan yang inklusif.
Majlis turut menampilkan ucaptama oleh Ketua Pegawai Kumpulan Bank Islam Malaysia Berhad, Noor Farilla Abdullah, diikuti tiga sesi panel ilmiah yang menghimpunkan pandangan pelbagai pihak – menjadikan MIDF 2025 sebagai medan wacana yang holistik dan berimpak tinggi.
Penganjuran MIDF 2025 dilihat selaras dengan aspirasi Malaysia untuk menjadi hab global kewangan digital Islam, dengan menekankan keseimbangan antara kemajuan teknologi dan prinsip etika Islam. Ia sekali gus menjadi pemangkin ke arah pembentukan sistem kewangan yang adil, inklusif dan lestari.
(Foto: MAIPs)