KANGAR: Nur Izzati Irdina Norzaimi dari SMK Derma yang mendapat 7A+ dan 2A dalam Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun 2024 dinobatkan sebagai penerima Anugerah Cemerlang Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis 2024.
Manakala Anugerah Kepujian YTSP Perlis pula disampaikan kepada 9 penerima iaitu Chong Irene (SMK Derma) 8A+ 2A 1A-, Nur Aisyah Danish Aziz (SMK Derma) 7A+ 3A, Rais Zafarsyahmi Mohd Syafarudy (SMK Derma) 8A+ 1A, Yong Zhee Sheng (SMK Derma) 9A+ 2A, Nuruljannah Aqilah Zainalfitre (SMK Agama (Perempuan) Alawiyah) 8A+ 1A 2A-, Ahmad Iman Mohamad Fadhili (SMK Agama Arau) 10A 2A, Muhammad Azrul Arif Shaiful Nizam (SMK Agama Arau) 10A+ 2A, Nur Ain Maisarah Mohd Rozai SMK Agama Arau 8A+ 4A, dan Muhammad Hanif Fitri Noorzamri (SMK Agama Arau) 8A+ 2A 1A-.
Sebanyak 71 lagi pelajar “Straight A’s” sekolah harian di Perlis turut menerima Anugerah Khas YTSP Perlis pada tahun ini.
Anugerah-anugerah tersebut disempurnakan penyampaiannya oleh Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil di Majlis Pengurniaan Anugerah Cemerlang, Anugerah Kepujian dan Anugerah Khas daripada Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis kepada pelajar-pelajar yang telah mencapai keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun 2024 di Grand Ballroom, The Putra Regency Hotel, Kangar.
Berangkat sama ialah Anakanda Puteri Baginda berdua, Hajah Sharifah Khatreena Nuraniah Jamalullail.
Turut diadakan ialah penyerahan Anugerah-Anugerah Cemerlang Yayasan Tuanku Syed Putra Dalam Bidang Sukan yang mana para penerimanya adalah Amsyar Sirhan Saifullah Saharruddin yang cemerlang dalam bidang sukan Woodball 2023/2024 di Peringkat Antarabangsa, Muhd Shahrul Azmer iaitu Pemenang pingat emas dalam acara 400m, Peringkat Antarabangsa, Zaiman Megat Abu Pemenang Pingat Emas dalam acara lompat kijang Peringkat Antarabangsa dan Muhammad Hafizuddin Roslin Emas SUKMA 2024 dalam Sukan Angkat Berat Peringkat Kebangsaan.
Majlis ini telah dianjurkan oleh Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Perlis bagi mengiktiraf kejayaan para pelajar yang telah mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024. Ia juga bertujuan untuk memberi suntikan semangat dan motivasi kepada pelajar lain agar terus berusaha mencapai kejayaan yang sama.
Selain itu, majlis ini juga menjadi wadah untuk menyampaikan setinggi-tinggi penghargaan kepada para guru dan ibu bapa atas sokongan, dorongan dan pengorbanan mereka sepanjang perjalanan akademik para pelajar.
Terdahulu, Tuanku Syed Faizuddin Putra bertitah, ‘Guru memainkan peranan penting sebagai arkitek pembangunan ilmu dan sahsiah dalam kalangan pelajar. Lebih daripada sekadar menyampaikan ilmu secara teratur dan sistematik, guru juga memastikan bahan bantu belajar yang disediakan adalah relevan dengan kehendak dan keperluan semasa peperiksaan’.
Baginda bertitah, komitmen para guru tidak terhenti di bilik darjah. Warga pendidik ini turut bertindak sebagai pembimbing dan pendorong, memberikan semangat serta sokongan moral yang tidak ternilai kepada para pelajar dalam usaha mengejar kecemerlangan. Peranan ini menjadikan guru bukan sekadar pendidik, tetapi juga insan yang membentuk jati diri dan masa depan generasi akan datang.
“Atas segala sumbangan dan dedikasi yang dicurahkan tanpa mengenal penat lelah, wajar untuk kita menyanjung tinggi jasa mereka dan menghargai pengorbanan mereka dalam membentuk masyarakat berilmu dan berakhlak mulia”, titah Tuanku Raja Muda lagi.
Baginda turut menzahirkan ucapan tahniah kepada semua pelajar atas pencapaian cemerlang yang bukan sahaja membanggakan negeri Perlis, tetapi turut memberi inspirasi kepada para pelajar yang bakal menduduki peperiksaan penting yang sama pada tahun ini akan pentingnya ilmu, usaha dan dedikasi dalam mengejar kejayaan.