BESERI, 11 Julai 2026 – Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menyeru golongan muda khususnya pelajar supaya tidak berasa gentar untuk menguasai teknologi, sebaliknya melihat perkembangan digital sebagai peluang bagi meningkatkan ilmu, bakat dan potensi diri.
Baginda bertitah, kemajuan teknologi akan terus berkembang mengikut peredaran zaman, sekali gus menjadikan pelbagai inovasi yang dianggap baharu pada hari ini sebagai perkara biasa pada masa hadapan.
“Pelajar digesa agar tidak gentar terhadap kompleksiti sistem dan inovasi digital moden. Hadapilah transformasi teknologi dengan penuh keyakinan, beriltizam menuntut ilmu, tidak terlalu memikirkan perkara yang belum pasti, sebaliknya mendekati ilmu baharu dengan penuh keterujaan serta menjadikan kemudahan digital sebagai medium pembantu yang efektif untuk melonjakkan bakat dan potensi diri,” titah baginda.
Baginda bertitah demikian ketika berkenan berangkat ke program MAIPs Peduli anjuran Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) di sekitar Padang Melangit, Beseri, yang turut dihadiri Waris Kedua Negeri Perlis, Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail.
Program kayuhan berkenaan merupakan sebahagian daripada inisiatif MAIPs bagi memperkukuh hubungan antara institusi diraja, MAIPs dan masyarakat setempat, di samping menyemarakkan budaya hidup sihat serta semangat kebersamaan dalam komuniti.
Sempena program itu, Tuanku Syed Faizuddin Putra selaku Yang Dipertua MAIPs turut berkenan menyampaikan sumbangan kepada beberapa asnaf terpilih berupa wang tunai RM700, kit MAIPs Peduli dan beras fidyah.
Tiga penerima yang disantuni ialah Hasnas Awang, 50, Rahmah Nyan, 83, dan Sh Hafiz Sh Ahmad, 32, yang kesemuanya merupakan penduduk Kampung Padang Melangit.
Inisiatif MAIPs Peduli terus menjadi platform penting dalam memperkukuh agenda kebajikan MAIPs menerusi pendekatan turun padang yang lebih dekat dengan masyarakat, sekali gus memastikan bantuan dapat disalurkan kepada golongan yang benar-benar memerlukan.
Aplikasi MyHRMIS Mobile: Galeri Aplikasi Mudah Alih Kerajaan Malaysia