Pelajar perlu gunakan teknologi untuk tingkatkan kefahaman – Raja Muda Perlis

Oleh: Sholina Osman
9 MEI 2025

Gunakan teknologi untuk meningkatkan kefahaman dalam pelajaran, meneroka ilmu baharu, serta membentuk pemikiran yang kreatif dan inovatif.

Golongan pelajar secara khususnya diseru agar memanfaatkan kemudahan teknologi dengan sebaik-baiknya untuk menimba ilmu dan memperkasa diri.

Pemanfaatan teknologi digital dalam bidang pendidikan memberikan peluang untuk akses kepada pelbagai maklumat, pembelajaran yang lebih interaktif, serta penguasaan kemahiran abad ke-21.

Walau bagaimanapun, di sebalik segala manfaat ini, kita perlu menggunakan teknologi dengan bijak dan penuh tanggungjawab.

Demikian titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas berkenan berangkat mengetuai program MAIPs Peduli yang berlangsung di sekitar Kampung Che Ok, Simpang Ampat.

INISIATIF BERIMPAK TINGGI

Kayuhan MAIPs Peduli merupakan sebuah inisiatif berimpak tinggi anjuran Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) yang bertujuan untuk mendekati golongan asnaf serta masyarakat memerlukan menerusi pendekatan santai dan mesra rakyat.

Program ini tidak hanya menjadi wadah riadah berbasikal semata-mata, malah berfungsi sebagai jambatan untuk menyampaikan bantuan zakat secara langsung kepada mereka yang layak, sekaligus memperkukuh jalinan hubungan antara MAIPs dan komuniti setempat.

Inisiatif kayuhan amal ini turut menjadi platform berkesan dalam memupuk kesedaran masyarakat mengenai kewajipan menunaikan zakat, di samping menyemarakkan semangat kepedulian sosial dalam kalangan umat Islam.

MENYEMPURNAKAN PENYERAHAN SUMBANGAN

Dalam kayuhan edisi kali ini, Tuanku Syed Faizuddin Putra, yang juga merangkap Tuanku Yang DiPertua MAIPs, turut berkenan menyantuni dan menyempurnakan penyerahan sumbangan kepada tiga orang asnaf terpilih.

Mereka ialah Rezuwan Ramli, 41, dari Kampung Sematang Serdang, Zainol Noh, 75, dari Kampung Bongor Kudong, dan Ghazali Hassan, 64, juga dari Kampung Sematang Serdang.

Sumbangan yang disampaikan adalah wang tunai sebanyak RM700, Kit MAIPs Peduli dan beras fidyah. – JM

Kongsi ke Media Sosial:

Paling Terkini

Semak Agihan

Semak Kutipan

Mohon

Bayar

Skip to content